KUALA LUMPUR 10 Mac - Satu tindak balas bersepadu antara kerajaan dan industri diperlukan bagi menangani kesan yang semakin meningkat daripada konflik Iran–Amerika Syarikat–Israel serta gangguan di sekitar Selat Hormuz terhadap eksport pembuatan dan perdagangan maritim Malaysia, menurut Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM).
Presidennya, Jacob Lee Chor Kok mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Tindak Balas Krisis Eksport, iaitu mekanisme ad hoc kerajaan–industri yang boleh diaktifkan apabila berlaku gangguan perdagangan bagi menangani cabaran operasi yang dihadapi oleh pengeksport dan syarikat perkapalan.
“Peristiwa antarabangsa mutakhir ini menonjolkan keperluan bagi mekanisme sedemikian, memandangkan ketegangan berterusan di Timur Tengah kini menjejaskan laluan maritim utama.
“Platform tindak balas bersepadu akan membolehkan penglibatan tepat pada masanya antara agensi kerajaan dan industri untuk menilai perkembangan, berkongsi maklumat dan bertindak balas dengan pantas apabila gangguan sedemikian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata, syarikat perkapalan utama telah memperkenalkan kenaikan tambang kecemasan bagi kargo yang bergerak ke dan dari pelabuhan Teluk, manakala premium insurans risiko perang juga meningkat dengan ketara.
Mengambil contoh Port Klang, beliau berkata pelabuhan tersebut kini mengalami kesesakan yang boleh menjadi lebih buruk sekiranya laluan perkapalan terus terganggu.
Sektor pembuatan Malaysia berdepan pendedahan langsung kepada gangguan laluan perkapalan global, memandangkan lebih 90 peratus perdagangan negara diangkut melalui laut.
“Logistik maritim yang stabil dan boleh dipercayai kekal penting bagi mengekalkan prestasi eksport dan pengeluaran industri, dan perkembangan konflik semasa sudah menunjukkan peningkatan kos tambang serta gangguan operasi,” tambahnya.
Berdasarkan pengalaman industri semasa krisis Laut Merah pada 2024, kadar tambang bagi laluan yang terjejas meningkat sehingga tiga kali ganda dalam tempoh beberapa minggu, manakala pengalihan laluan kapal memanjangkan tempoh transit sehingga dua minggu.
“Pengeluar yang mengeksport ke pasaran Teluk kini berdepan kos penghantaran yang lebih tinggi, kapasiti kapal yang lebih terhad serta ketidakpastian jadual penghantaran.
“Harga minyak global yang lebih tinggi juga berpotensi meningkatkan kos tenaga industri dan perbelanjaan logistik di seluruh sektor pembuatan,” katanya.
Walaupun negara-negara Gulf Cooperation Council bukan destinasi eksport terbesar Malaysia, rantau tersebut kekal sebagai pasaran sekunder yang penting serta hab pemindahan (transhipment) utama bagi kargo yang dihantar seterusnya ke Afrika, Asia Tengah dan sebahagian Eropah.
Oleh itu, gangguan di pelabuhan Teluk bukan sahaja menjejaskan eksport langsung ke rantau berkenaan, malah turut memberi kesan kepada penghantaran ke pasaran lain.
Lee berkata, pasukan petugas yang dicadangkan itu perlu menyediakan risikan pasaran masa nyata mengenai kadar tambang, laluan perkapalan dan perkembangan logistik, selain memudahkan perkongsian maklumat antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan industri serta menyelaras tindak balas pantas bagi menangani cabaran operasi yang dihadapi oleh pengeksport dan syarikat perkapalan.
Beliau mencadangkan pasukan petugas tersebut dipengerusikan oleh Ministry of Investment, Trade and Industry dan menghimpunkan agensi berkaitan di bawah kementerian itu bersama wakil daripada Kementerian Pengangkutan, pihak berkuasa pelabuhan, Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam serta Bank Negara Malaysia, dengan penyertaan industri melalui FMM.
“Pasukan petugas ini juga akan membolehkan gangguan baharu dikenal pasti lebih awal dan, jika perlu, memperkenalkan langkah sokongan bagi membantu pengeksport yang berdepan peningkatan kos tambang, kekangan kapasiti kapal serta kelewatan penghantaran,” katanya. - BERNAMA








