KUALA LUMPUR 6 Feb - Five Petroleum Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan dua pemain utama dalam industri tenaga di Uzbekistan, Afsona Group dan Uzbekneftegaz.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr King Lim Chin Fui berkata, kedua-dua kerjasama itu bertujuan untuk meningkatkan pengedaran bahan api dan memodenkan kemudahan tenaga di Uzbekistan.
Kerjasama berkenaan memanfaatkan rangkaian luas Afsona yang memiliki 97 stesen bahan api dan kepakaran Five dalam penjenamaan, teknologi dan piawaian operasi untuk meningkatkan perkhidmatan pengedaran bahan api di Uzbekistan.
"Perjanjian ini menekankan lagi kepentingan memperkukuhkan hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.
"Ini lebih daripada sekadar kerjasama perniagaan. Ia adalah bukti pengukuhan pertukaran ekonomi dan teknologi antara Malaysia dan Uzbekistan," kata Chin Fui yang juga Pengerusi Perikatan Perniagaan Malaysia-Uzbekistan seperti laporan The Star.
Memorandum Persefahaman (MoU) antara Five Petroleum dan dua syarikat itu ditandatangani secara rasmi semasa Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan.
Forum tersebut disempurnakan dengan kehadiran Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, semasa lawatan rasminya ke Malaysia selama dua hari bermula semalam.
Five Petroleum dan Afsona Group, yang diterajui oleh Pengerusinya Kudrat Abdullaev, akan memasuki perjanjian usaha sama atau perjanjian serupa untuk memperluaskan kehadiran pasaran mereka.
Selain itu, Five Petroleum Group juga membentuk kumpulan kerja bersama dengan Uzbekneftegaz yang dimiliki oleh kerajaan Uzbekistan untuk membangunkan stesen bahan api pelbagai (cas EV, gas asli mampat, diesel dan petrol), meneroka digitalisasi perniagaan teras dan menilai peluang untuk menyewa atau memperoleh depot minyak.
Chin Fui berkata, kerjasama tersebut membuka peluang penting bagi Malaysia dan Uzbekistan untuk memacu inovasi dalam sektor tenaga.
"Dengan menggabungkan teknologi maju Five dengan kepakaran tempatan Uzbekneftegaz, kami akan menetapkan penanda aras baharu bagi kecekapan, kelestarian dan kemudahan dalam pembekalan tenaga.
"Ini merupakan langkah penting ke arah mencapai kemudahan tenaga yang bersedia menghadapi masa depan," ujarnya. - DagangNews.com








