KUALA LUMPUR 16 Mac - Sistem artileri MKE Boran 105mm howitzer buatan Türkiye dilihat sebagai calon paling kukuh untuk dipilih bagi pembelian meriam baharu Tentera Darat Malaysia.
Ketika ini rundingan antara pihak terlibat sedang giat dijalankan sebelum perolehan sistem meriam tunda ringan untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia diputuskan.
Perkara itu dimaklumkan oleh syarikat pertahanan Makine ve Kimya Endüstrisi (MKE) menerusi satu kenyataan rasmi memaklumkan Boran mendahului pesaing lain dari segi kualiti serta prestasi.
Menurut syarikat tersebut, Boran mempamerkan prestasi cemerlang ketika sesi ujian yang dijalankan di Malaysia.

Potensi pemilihannya turut diperkukuh oleh hubungan baik yang terjalin antara Malaysia-Türkiye terutamanya membabitkan politik dan ekonomi.
Sistem artileri Boran ketika ini telah digunakan tentera Türkiye manakala Bangladesh pula menjadi pembeli antarabangsa pertama.
Selain itu, sistem berkenaan juga berjaya menembusi pasaran Eropah melalui penghantaran ke Macedonia Utara.
Perkembangan tersebut sekali gus meningkatkan profil meriam Boran dalam pasaran persenjataan global.
Syarikat MKE memaklumkan bahawa sistem berkenaan semakin mendapat perhatian negara di Asia dan Eropah kerana keupayaan serta potensi eksport yang tinggi.


Terdahulu pada Mei 2025, Boran telah menjalani sesi ujian tembakan di Malaysia untuk bersaing dengan beberapa sistem meriam dari negara lain.
Hasil penilaian mendapati Boran berjaya melepaskan 12 das tembakan dalam tempoh hanya 46 saat.
Pencapaian itu sekali gus mengatasi prestasi meriam pesaing lain dari segi kadar kelajuan tembakan serta integriti sistem.
Dari segi reka bentuk, meriam ini dibangunkan untuk memenuhi keperluan peperangan moden.
Ia mempunyai berat sekitar 1,775 kilogram, menjadikannya antara meriam tunda paling ringan dalam kelasnya.


Reka bentuk ringan itu membolehkan ia diangkut melalui udara menggunakan helikopter saiz sederhana seperti Sikorsky S‑70 Black Hawk dan H225M.
Meriam Boran yang ditunda mampu ditempatkan dalam posisi sedia menembak dalam tempoh kurang daripada satu minit.
Sistem ini turut dilengkapi teknologi kawalan tembakan berasaskan GPS serta keupayaan atur gerak pantas yang sesuai untuk operasi hantaran udara.
Malaysia telah membuka tender bernilai RM697.7 juta untuk perolehan 36 unit meriam ringan 105mm baharu bagi menggantikan meriam lama Tentera Darat Malaysia.
Meriam Boran 105mm keluaran MKE Turkiye dilihat sebagai calon utama yang berpotensi menggantikan meriam Laam 105mm Oto Melara Pack Howitzer.
Pesaing terdekat adalah meriam LG1 MK III 105mm Nexter buatan Perancis di mana Tentera Darat Malaysia mengoperasikan 18 laras meriam jenis ini yang dibeli pada 2018.
Kesemua meriam dipasang di Malaysia sebagai sebahagian daripada kerjasama antara syarikat tempatan, Advance Defence Systems (ADS) dengan Nexter. - DagangNews.com








