KUALA LUMPUR 7 Feb - Firefly, anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG), melancarkan dua laluan baharu dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (SZB) ke Kuching (KCH) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi (SIN) bermula 24 Mac 2025.
Dengan pengenalan itu, pelancong kini boleh menikmati sambungan tanpa gangguan antara Subang dan dua destinasi popular berkenaan.
Bagi meraikan pelancaran tersebut, penumpang boleh menikmati harga promosi satu hala eksklusif bermula daripada RM219 ke Kuching dan RM189 ke Singapura, memberi peluang terbaik untuk meneroka destinasi-destinasi itu dengan nilai yang luar biasa.
Penerbangan ke laluan baharu itu akan menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang telah dinaik taraf, di mana penumpang juga menikmati bagasi percuma 10kg untuk daftar masuk, 7kg bagasi tangan dan makanan ringan dalam penerbangan.
Selain itu, bagi pengalaman perjalanan yang lebih fleksibel, penumpang boleh menaik taraf ke Flex yang termasuk 30kg bagasi daftar masuk dan perubahan penerbangan tanpa had.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, pelancaran laluan-laluan baharu tersebut menandakan satu lagi pencapaian dalam misi Firefly untuk menyediakan sambungan dan kemudahan yang lebih baik.
"Menyokong perkhidmatan turboprop kami di Lapangan Terbang Subang, kami mahu menawarkan pengalaman perjalanan yang menggabungkan keselesaan, kecekapan dan kemampuan sambil membuka peluang perjalanan baharu," katanya dalam satu kenyataan.
Sejak 2008, Firefly menjadi sebahagian landskap penerbangan Subang, bermula dengan menawarkan perkhidmatan turboprop ke pelbagai destinasi domestik dan serantau.
Dengan penambahan terbaharu dalam operasi jetnya dari Subang, Firefly akan meningkatkan lagi kehadirannya di hab tersebut, menjalankan 28 penerbangan mingguan dengan pesawat Boeing 737-800 ke empat destinasi, termasuk Penang dan Kota Kinabalu.
Ia sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam menyediakan pilihan perjalanan yang mudah dan sambungan tanpa gangguan untuk pelancong perniagaan dan rekreasi. - DagangNews.com








