KUALA LUMPUR 4 Mei – Feytech Holdings Berhad terus memperkukuh kedudukannya dalam industri automotif serantau selepas memperoleh kontrak baharu bernilai kira-kira RM96.8 juta bagi membekalkan sarung tempat duduk untuk model Proton akan datang.
Kontrak tersebut akan dilaksanakan melalui anak syarikatnya, Gosford Leather Industries Sdn Bhd dengan pengeluaran dijadualkan bermula dalam tempoh terdekat seiring pelancaran model baharu Proton.
Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Connie Go berkata, kontrak berkenaan merupakan kesinambungan hubungan jangka panjang syarikat dengan Proton yang terjalin sejak 2012.
“Feytech telah berkembang seiring dengan industri automotif negara dan kami berbangga untuk terus menyokong Proton dalam fasa pengembangan produk terbaharunya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berasingan, usaha sama Feytech dengan Wuhu Ruitai Auto Parts Co. Ltd melalui FTRT Autoparts Sdn Bhd turut memperkukuh kerjasama dengan Chery.

FTRT Autoparts dijangka memulakan pengeluaran tempat duduk bagi dua model sedia ada dan dua model baharu Chery pada suku ketiga tahun ini di fasiliti khas di Subang, di bawah rangka kerja pemasangan CKD di Malaysia.
FTRT ditubuhkan untuk membekalkan komponen tempat duduk kepada pengeluar kereta dari China yang memasang kenderaan mereka di Malaysia melalui sistem CKD, iaitu pemasangan kereta menggunakan komponen yang dihantar berasingan sebelum dipasang di kilang tempatan.
Menurut Connie, kedua-dua program berkenaan selaras dengan strategi kumpulan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pembekal sistem tempat duduk Tier-1 kepada OEM domestik dan serantau, di samping meningkatkan penggunaan kapasiti pengeluaran serta kestabilan pendapatan jangka panjang.
Feytech merupakan kumpulan industri berasaskan Malaysia yang terlibat dalam pembuatan tempat duduk automotif, komponen dalaman kenderaan serta perkhidmatan sokongan berkaitan, dengan pelanggan dalam kalangan OEM tempatan dan antarabangsa.- DagangNews.com








