FBG peroleh kontrak RM40.2 juta projek kemudahan makmal ujian keselamatan jalan raya MIROS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FBG peroleh kontrak RM40.2 juta projek kemudahan makmal ujian keselamatan jalan raya MIROS

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 AprilFBG Holdings Berhad memperoleh kontrak bernilai RM40.2 juta bagi projek kemudahan makmal ujian keselamatan jalan raya, dengan tempoh pelaksanaan kerja selama 37.5 bulan.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, surat penganugerahan (LOA) diperoleh anak syarikat miliknya, FBG Builder Sdn Bhd daripada MTD Construction Sdn Bhd pada 17 April 2026.


Tender itu bagi pelantikan sebagai kontraktor pakar untuk penyediaan peralatan makmal kemudahan ujian perlanggaran bagi projek Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).


"Kerja-kerja bermula 20 April 2026 dan dijangka siap pada 5 Jun 2029, dengan kontrak dijangka mengukuhkan aliran pendapatan kumpulan untuk tempoh jangka sederhana hingga 2029," kata FBG.


Menurutnya lagi, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bermula bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan seterusnya sepanjang tempoh kontrak.


Lembaga pengarah kumpulan tersebut dalam kenyataan berkenaan turut berpendapat yang kontrak terbaharu diperoleh itu adalah dalam kepentingan terbaik syarikat untuk jangka panjang.


Syarikat tersebut jelas FBG, turut memaklumkan yang kontrak berkenaan tidak akan memberi apa-apa kesan material terhadap modal saham serta pegangan pemegang saham utama kumpulan itu.


"Pada masa sama, tiada sebarang pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut," kata makluman tersebut.


Projek ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan segmen pembinaan khusus, terutama fasiliti teknikal dan infrastruktur penyelidikan berimpak tinggi di Malaysia. - DagangNews.com