Fasa baharu ditambah ke projek TUDM Butterworth, FBG Holdings raih kontrak RM132.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fasa baharu ditambah ke projek TUDM Butterworth, FBG Holdings raih kontrak RM132.5 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis – FBG Holdings Berhad yang sebelum ini dikenali sebagai Fajarbaru Builder Group Bhd, telah memeterai Surat Perubahan No. 3 kepada Kontrak Utama (Antarabangsa) Fasa Dua bersama Avionics Pty Ltd bagi projek infrastruktur di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FBG berkata, perubahan ini menambah satu fasa baharu iaitu Penggantian Permukaan Jalan Fleksibel atau Fasa 3 ke dalam kontrak sedia ada.

 

“Jumlah tambahan kontrak bagi fasa baru ini adalah sebanyak RM132.5 juta beserta AUD23,450 (RM63,162.58) mengikut kadar pertukaran Bank Negara Malaysia pada 28 November 2025. 

 

“Dengan penambahan ini, jumlah kumulatif kontrak bagi projek tersebut kini berjumlah RM311 juta beserta AUD2.38 juta,” kata FBG dalam makluman tersebut.

 

Tempoh kontrak juga telah dilanjutkan, dengan Fasa 1 – Kemudahan Sewa Australia dijadualkan siap pada 6 Januari 2026, manakala Fasa 2 – Pembangunan Semula Kemudahan Malaysia dan Fasa 3 – Penggantian Permukaan Jalan Fleksibel dijadualkan siap pada 18 September 2026.

 

FBG Holdings berkata, tiada kelulusan daripada pemegang saham diperlukan untuk melaksanakan perubahan kontrak ini. 

 

“Projek ini dijangka memberi impak positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan 30 Jun 2027, tanpa menjejaskan modal saham atau pegangan pemegang saham utama syarikat.

 

“Lembaga pengarah FBG juga menegaskan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini. 

 

“Lembaga berpendapat bahawa Surat Perubahan No. 3 ini adalah kepentingan terbaik bagi Kumpulan,” katanya. - DagangNews.com