KUALA LUMPUR 1 Julai – Fasa 3 pelaksanaan e-Invois yang bermula hari ini melibatkan kira-kira 55,000 pembayar cukai dengan pendapatan tahunan antara RM5 juta hingga RM25 juta.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Shaharrudy Othman berkata, pihaknya komited untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menunaikan tanggungjawab mereka melalui pelbagai program promosi dan pendidikan.
"LHDN giat melaksanakan usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan kumpulan sasar agar pelaksanaan e-Invois benar-benar menyeluruh dan berkesan," katanya pada majlis pelancaran Fasa 3 e-Invois di sini, hari ini.
Setakat ini, sebanyak 352 juta e-invois telah dihantar melalui sistem MyInvois, melibatkan lebih 37,800 pembayar cukai, termasuk 5,400 daripada Fasa 1 dan lebih 13,000 daripada Fasa 2.
Selain itu, beliau berkata, lebih 19,000 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois secara sukarela lebih awal tarikh tarikh wajib yang ditetapkan.
Berdasarkan pengumuman terdahulu, Fasa 4 e-Invois yang melibatkan perniagaan dengan pendapatan RM1 juta hingga RM5 juta telah ditangguhkan pada 1 Januari 2206 manakala Fasa 5 untuk golongan pendapatan di bawah RM1 juta pula akan bermula pada 1 Julai 2026.
Bagi perniagaan dengan hasil kurang daripada RM500,000 pula, mereka dikecualikan daripada pelaksanaan inisiatif ini.
Tambahnya, LHDN telah meningkatkan bilangan sesi taklimat dan memperluas penggunaan Portal MyInvois di seluruh negara.
"Sebuah laman mikro e-Invois khas juga telah diwujudkan di portal rasmi LHDN untuk menyampaikan maklumat terkini secara berpusat.
"Kaunter khas juga disediakan di seluruh negara bagi membantu pemahaman pembayar cukai mengenai portal MyInvois, aplikasi MyInvois, serta sistem MyInvois e-Pos yang ditawarkan secara percuma," katanya.
Sistem MyInvois e-Pos itu direka khas untuk PMKS yang mencatatkan pendapatan tahunan di bawah RM750,000.
Ia menggabungkan fungsi perniagaan teras seperti rakaman jualan, pengurusan inventori, pelaporan kewangan dan sokongan e-Invois dalam satu platform mudah guna.
"Sistem ini memudahkan pelaksanaan e-Invois serta membantu PMKS meningkatkan kecekapan operasi perniagaan mereka.
"Komunikasi berterusan akan diperkasa antara LHDN, komuniti perniagaan, pengamal cukai dan badan profesional bagi meningkatkan kefahaman manfaat pelaksanaan ini," katanya. - DagangNews.com








