KUALA LUMPUR 14 Nov – Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa 15 November 2025.
Pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Fadlun memiliki Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta mempunyai pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, ketika berkhidmat di Perbadanan Putrajaya sejak 2022, Fadlun telah menunjukkan kepimpinan cemerlang dalam melaksanakan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar yang lain.
“Beliau juga adalah Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia.
“Penglibatan aktif dalam pelbagai forum dan jaringan profesional antarabangsa menonjolkan peranan beliau sebagai tokoh perancang bandar yang berwawasan dan berpandangan jauh.
“Dengan pelantikan ini, beliau diharap akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di DBKL dengan penuh integriti dan cekap serta memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Misi beliau adalah memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai MADANI.
Selain itu, Zaliha juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Maimunah kini dilantik sebagai Penasihat Hartanah PETRONAS dan pengalaman luasnya dijangka terus dimanfaatkan dalam agenda pembangunan strategik negara. - DagangNews.com








