KUALA LUMPUR 19 Feb — Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) telah melantik Nurbayu Kasim Chang sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Menurut Pengerusinya, Datuk Charon Mokhzani, Nurbayu akan membawa bersama banyak pengalaman terutama perbankan korporat, kewangan Islam dan kewangan pembangunan.
"Perkembangan ini bakal meletakkannya dalam kedudukan yang baik untuk beliau memacu perniagaan dan membawa hasil positif kepada bank,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Nurbayu menyertai EXIM Bank pada Januari 2023 sebagai Ketua Pegawai Perniagaan, sebelum memegang jawatan Pemangku Presiden dan CEO bank itu pada Februari 2024.
Sebelum itu, beliau berpengalaman dalam pelbagai peranan kepimpinan dan pengurusan termasuk di Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank).
Jawatan terakhir beliau di bank itu ialah sebagai ketua pegawai perniagaan. Selain itu, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan di CIMB Bank. - DagangNews.com








