KUALA LUMPUR 20 April - ES Sunlogy Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Savelite Engineering Sdn Bhd menerima kontrak subkontrak bernilai RM107.5 juta bagi projek pembinaan industri sederhana di Johor Bahru.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata Savelite telah menerima Surat Setuju Terima (LOA) daripada China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd pada 20 April 2026, bagi melaksanakan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal untuk projek berkenaan.
Skop kerja merangkumi pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan serta penyelenggaraan sistem penyaman udara dan pengudaraan mekanikal, sistem kawalan asap, sistem elektrik serta sistem sokongan kabel voltan rendah tambahan (ELV).
Projek tersebut melibatkan pembangunan bangunan dan kerja-kerja luaran bagi industri sederhana di Mukim Tebrau, Johor Bahru.
Menurut ES Sunlogy, tempoh pelaksanaan kontrak bermula 18 Februari 2026 hingga 30 November 2026.
“Penerimaan kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham serta tahap penggearan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek,” katanya.
Bagaimanapun, syarikat menjelaskan kontrak tersebut tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan pegangan saham utama kumpulan.
Dari segi risiko, ES Sunlogy tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa berkaitan pelaksanaan projek.
Lembaga Pengarah berpandangan penerimaan kontrak itu adalah dalam urusan perniagaan biasa dan selaras dengan kepentingan terbaik syarikat serta kumpulan. - DagangNews.com








