KUALA LUMPUR 2 Dis – EquitiesTracker Holdings Berhad (ETH) menjalin kerjasama strategik dengan ZF Innovations Sdn Bhd (ZF Founderclub) bagi meningkatkan literasi kewangan dan pendidikan pengurusan perbendaharaan di kalangan usahawan Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ETH berkata, melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan siri program pendidikan, bengkel serta inisiatif bersama untuk memberi pengetahuan praktikal kepada pengasas perniagaan.
Antaranya ialah mengenai pengurusan aliran tunai, mengoptimumkan penyata kewangan dan pembinaan daya tahan kewangan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ETH, Alvin Vong berkata, ramai usahawan Malaysia berjaya meningkatkan pendapatan tetapi kurang mendapat panduan berstruktur dalam pengurusan perbendaharaan.
“Kerjasama dengan ZFounderclub bertujuan membawa ketelusan kewangan, struktur dan rangka kerja sebenar terus kepada komuniti usahawan.
“ETH menyumbang pengalaman melalui dua anak syarikat pengurusan dana berlesen, iaitu ET Smart Wealth Sdn Bhd yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan ET Capital Ltd yang dilesenkan oleh Labuan FSA.
“Kedua-dua entiti ini pakar dalam menyediakan penyelesaian pengurusan perbendaharaan termasuk akaun terurus individu, strategi kecairan dan kerangka portfolio jangka panjang untuk memperkukuh ketahanan kewangan perniagaan,” katanya dalam makluman tersebut.
ZF Founderclub pula menyediakan akses kepada rangkaian usahawan, menganjurkan acara bersama dan menyokong program pendidikan melalui platform digital dan fizikalnya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ZFounderclub, Jin Chi berkata, literasi kewangan adalah salah satu tonggak penting namun sering diabaikan dalam keusahawanan.
“Kerjasama ini membolehkan pengasas membuat keputusan kewangan lebih baik, mengekalkan modal dan membina perniagaan yang lestari.
“Ini adalah satu permulaan beberapa perkongsian strategik yang akan diumumkan oleh ETH sebagai sebahagian daripada inisiatif lebih luas untuk memposisikan kumpulan itu sebagai rakan kewangan jangka panjang bagi usahawan yang memerlukan panduan, struktur dan pengurusan perbendaharaan profesional.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu komuniti usahawan Malaysia membina asas kewangan yang kukuh serta meningkatkan daya tahan perniagaan mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi masa kini,” katanya. - DagangNews.com








