EPIC Berhad perkukuh operasi dengan dua kren Tadano berkapasiti 50 MT, 30 MT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EPIC Berhad perkukuh operasi dengan dua kren Tadano berkapasiti 50 MT, 30 MT

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KEMAMAN 26 Sept - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) memperkukuh keupayaan logistik dan operasi dengan penambahan rasmi dua kren baharu jenama Tadano masing-masing berkapasiti 50 metrik tan (MT) dan 30 MT.

 

Pembelian tersebut dibuat melalui PBK Logistics Sdn Bhd (PBKL), anak syarikat Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Muhtar Suhaili As-Sarawaki berkata, dengan tambahan ini, jumlah kren yang beroperasi di Kemaman Supply Base (KSB) kini meningkat kepada 29 unit.

 

“Ia merupakan satu langkah penting dalam usaha mengembangkan operasi perniagaan syarikat. Penambahan kapasiti angkat ini akan memperkukuh lagi sokongan kepada pelanggan industri minyak dan gas, di samping meningkatkan kecekapan operasi di KSB,” kata beliau.

 

 

EPIC

 

 

PBKSB yang memiliki serta mengendalikan KSB dan Kuala Terengganu Support Base (KTSB), merupakan salah satu daripada 11 anak syarikat di bawah EPIC Berhad.

 

Aktiviti logistik merupakan antara tumpuan utama di KSB sebagai hab rantaian bekalan dan perkhidmatan sokongan industri di rantau ini.

 

Perniagaan pangkalan bekalan dan pangkalan sokongan merupakan teras kepada EPIC Berhad, yang menyumbang sebanyak 48% kepada hasil pendapatan kumpulan pada tahun 2024.

 

Dengan penambahan kren baharu ini, EPIC Berhad yakin dapat terus memperkukuh kedudukannya sebagai rakan logistik dan sokongan utama bagi industri minyak dan gas negara. - DagangNews.com