EP Manufacturing peroleh kontrak 8 tahun dari SAIC Motor pasang kenderaan MG di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EP Manufacturing peroleh kontrak 8 tahun dari SAIC Motor pasang kenderaan MG di Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt – EP Manufacturing Bhd terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor automotif tempatan apabila dilantik sebagai syarikat pemasangan kontrak bagi beberapa model kenderaan jenama MG oleh SAIC Motor Malaysia Sdn Bhd.

 

Perjanjian itu berkuat kuasa untuk tempoh awal selama lapan tahun dan melibatkan anak syarikat milik penuh EP Manufacturing iaitu Peps-JV (Melaka) Sdn Bhd.

 

Syarikat itu berkata, kerja-kerja pemasangan akan dijalankan di kilangnya yang terletak di Melaka.

 

“Melalui perjanjian tersebut, SAIC Motor Malaysia akan membuat pesanan minimum bulanan (MOQ).

 

“Jumlahnya untuk masa akan datang bakal dimuktamadkan secara bersama tetapi tidak boleh lebih rendah daripada kuantiti tahun sebelumnya.

 

“Kedua-dua pihak juga akan memuktamadkan jumlah pengeluaran, varian model dan garis masa sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum setiap kitaran pemasangan bagi memastikan perancangan dan operasi berjalan lancar,” katanya.

 

SAIC Motor Malaysia merupakan anak syarikat kepada SAIC Motor Corp Ltd, sebuah syarikat automotif milik kerajaan China yang disenaraikan di Bursa Saham Shanghai. 

 

Syarikat induk itu juga merupakan antara kumpulan automotif terbesar di China dan disenaraikan dalam Fortune Global 500, dengan barisan jenama utama termasuk MG, Maxus, Roewe, IM dan Baojun.

 

Perjanjian baharu ini menjadikan kerjasama bersama SAIC sebagai kerjasama utama ketiga EP Manufacturing dengan pengeluar automotif China dalam tempoh kurang daripada dua tahun, sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur luar terhadap keupayaan syarikat tempatan.

 

Kerjasama strategik ini dijangka dapat merancakkan lagi pertumbuhan sektor pemasangan kenderaan di Malaysia dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan teknologi automotif tempatan. - DagangNews.com