KUALA LUMPUR 19 Mei – Enest Group Berhad memeterai perjanjian taja jamin bersama M&A Securities Sdn Bhd bagi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia, susulan rancangan pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan kumpulan bagi memperkukuh kedudukan pasaran serta menyokong keperluan modal kerja, khususnya dalam operasi perolehan dan pemprosesan sarang burung walit.
Enest Group Berhad merupakan syarikat pemproses dan pedagang sarang burung walit dengan tahap ketulenan tinggi, yang turut terlibat dalam penjualan produk sarang burung mentah bersih, produk hiliran berasaskan sarang burung seperti minuman serta rangkaian perniagaan kesihatan dan penjagaan diri.
Selain perniagaan teras tersebut, kumpulan turut mengendalikan perniagaan runcit kesihatan dan penjagaan peribadi di bawah jenama “Kang Li”, dengan sokongan saluran jualan domestik termasuk platform e-dagang bagi memperluaskan capaian pasaran.
Berdasarkan prospectus, IPO berkenaan melibatkan terbitan awam sebanyak 116.25 juta saham baharu serta tawaran jualan 15.05 juta saham sedia ada oleh pemegang saham penjual.
Daripada jumlah terbitan itu, sebanyak 29.06 juta saham atau 5 peratus daripada modal saham diperbesarkan diperuntukkan kepada pelabur awam Malaysia.
Sebanyak 8.72 juta saham atau 1.5 peratus pula diperuntukkan melalui permohonan borang merah jambu kepada pengarah, pengurusan kanan, pekerja serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Selain itu, 72.66 juta saham atau 12.5 peratus akan ditempatkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala 5.81 juta saham lagi serta keseluruhan 15.05 juta saham tawaran jualan akan ditempatkan kepada pelabur terpilih.
Di bawah perjanjian tersebut, M&A Securities Sdn Bhd akan menaja jamin sebanyak 37.78 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada permohonan orang awam Malaysia serta borang merah jambu.
Baki 78.47 juta saham terbitan serta 15.05 juta saham tawaran jualan tidak ditaja jamin, sebaliknya akan ditempatkan melalui kaedah penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Hasil IPO akan digunakan oleh Enest bagi tujuan pembayaran balik pinjaman bank, keperluan modal kerja serta anggaran kos penyenaraian di Bursa Malaysia.
Bahagian modal kerja itu akan digunakan khususnya bagi pembelian bekalan sarang burung walit mentah bagi menyokong rantaian bekalan dan operasi pemprosesan kumpulan.
Pengarah Urusan Enest Group Berhad, Tan Teh Jie berkata pemeteraian perjanjian tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan kumpulan menuju penyenaraian di Pasaran ACE.
Beliau berkata IPO itu akan memperkukuh kedudukan kewangan kumpulan dengan menyediakan modal kerja yang lebih stabil serta meningkatkan fleksibiliti kewangan bagi pertumbuhan masa hadapan.
“Dana yang diperoleh akan membolehkan kami memperkukuh rantaian bekalan, khususnya dalam pembelian sarang burung walit mentah, di samping mempertingkat keupayaan operasi bagi memenuhi permintaan pasaran,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif M&A Securities Sdn Bhd, Datuk Bill Tan berkata Enest mempunyai asas perniagaan yang kukuh dengan rekod operasi yang stabil serta pengalaman eksport yang baik, khususnya di pasaran China.
Beliau berkata industri sarang burung walit masih mempunyai prospek pertumbuhan yang memberangsangkan dan Enest berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang tersebut.
M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin serta ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO berkenaan. - DagangNews.com








