Eksport Malaysia 2026 dijangka berkembang 7.0%, lebihan dagangan diramal cecah RM172 bilion - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport Malaysia 2026 dijangka berkembang 7.0%, lebihan dagangan diramal cecah RM172 bilion - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Feb – Prestasi perdagangan luar Malaysia memulakan 2026 dengan langkah kanan apabila eksport negara melonjak 19.6% tahun ke tahun (YoY) pada Januari 2026 berbanding 10.2% pada Disember 2025, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB)

 

Firma penyelidikan itu berkata, dalam tempoh sama, pertumbuhan import sederhana kepada 5.3% YoY berbanding 9.5% pada bulan sebelumnya, sekali gus membolehkan Malaysia mengekalkan lebihan dagangan melebihi RM20 bilion.

 

Lebihan dagangan direkodkan sebanyak RM21.4 bilion pada Januari 2026 berbanding RM22.1 bilion pada Disember 2025, mencerminkan daya tahan sektor luaran meskipun berdepan ketidaktentuan perdagangan global.

 

Maybank IB berkata, prestasi eksport yang lebih kukuh itu didorong oleh kitaran peningkatan teknologi global berasaskan kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam segmen elektrik dan elektronik (E&E), selain manfaat daripada kepelbagaian pasaran eksport Malaysia.

 

“Momentum eksport ketika ini turut disokong oleh permintaan berterusan dalam rantaian bekalan teknologi global, sekali gus membantu mengimbangi risiko luaran,” katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, landskap perdagangan global kembali berdepan ketidaktentuan susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) Jumaat lalu yang memutuskan bahawa tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) adalah tidak sah.

 

Susulan keputusan itu, Presiden Donald Trump dilaporkan mengemukakan pelan alternatif dengan menggunakan undang-undang perdagangan lain bagi melaksanakan tarif baharu, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai hala tuju dasar perdagangan AS.

 

Maybank IB berkata, bagi tahun penuh 2026, eksport Malaysia dijangka berkembang 7.0% berbanding 6.4% pada 2024, manakala import diunjur meningkat 6.5% (2024: 6.0%).

 

Lebihan dagangan pula diramal mencecah RM172 bilion pada 2026 berbanding RM154.6 bilion pada 2024, didorong pertumbuhan eksport yang lebih pantas berbanding import serta struktur perdagangan yang semakin pelbagai.

 

Secara keseluruhan, prospek perdagangan luar Malaysia kekal positif dengan sokongan kitaran teknologi global dan permintaan serantau, namun kekal bergantung kepada perkembangan dasar perdagangan AS serta dinamika geopolitik semasa. - DagangNews.com