Eksons ambil alih 13.12% ekuiti Vibrant Hub daripada Topaz Blue bernilai RM6.56 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksons ambil alih 13.12% ekuiti Vibrant Hub daripada Topaz Blue bernilai RM6.56 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 JanEksons Corporation Berhad memperoleh 13.12% kepentingan dalam Vibrant Hub Sdn Bhd (VHSB) daripada Topaz Blue Sdn Bhd (TBSB) dengan jumlah pertimbangan RM6,566,121.


Menurutnya, ia susulan pemeteraian perjanjian jual beli (SPA) dengan cadangan pengambilalihan tersebut melibatkan pembelian 174,130 saham biasa dan 2,326,858 saham keutamaan dalam VHSB.


Jelas kumpulan pengurusan tersebut, VHSB merupakan sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan utama dalam bidang pegangan pelaburan dan perkhidmatan kewangan sejak ditubuhkan pada 1996.


"Langkah baharu ini bertujuan meningkatkan keupayaan Eksons menerajui keputusan strategik VHSB dalam usaha membuka seluruh nilai dan pengembangan masa depan," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Selain itu katanya lagi, pengambilalihan syarikat berkenaan membolehkan penyertaan yang lebih besar dalam menjana keuntungan secara jangka panjang melalui dividen atau peningkatan modal tambahan.


Harga pembelian VHSB ditentukan berdasarkan asas kesanggupan pembeli dan penjual, setelah mengambil kira aset bersih teraudit syarikat tersebut sebanyak RM28.05 juta setakat 31 Mac 2025.


Justeru, pengambilalihan ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham yang diterbitkan atau pegangan saham utama syarikat kerana ia langsung tidak melibatkan penerbitan saham baharu Eksons.


"Usaha berkenaan juga dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material terhadap aset bersih sesaham kumpulan ini bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2026," katanya dalam makluman itu.


Urus niaga itu diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan memandangkan Tan Sri Dr Abdul Aziz Husain merupakan pengarah dan pemegang saham utama bersama bagi Eksons dan VHSB sendiri.


Sehubungan itu jelasnya, beliau mengambil tindakan berkecuali daripada semua perbincangan dan pengundian dilaksanakan oleh Lembaga Pengarah berkaitan cadangan pengambilalihan tersebut.


Lembaga Pengarah Eksons turut berpendapat bahawa transaksi ini adalah adil, munasabah, dan demi kepentingan terbaik syarikat serta tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham minoriti.


"Cadangan pengambilalihan ini tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham syarikat dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun kewangan syarikat," katanya. - DagangNews.com