KUALA LUMPUR 18 Mei - CGS International memberi amaran prospek pertumbuhan ekonomi negara semakin cenderung ke arah penurunan memasuki separuh kedua 2026 (1H26) berikutan tekanan inflasi dan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada suku kedua 2026 (2Q26) disokong oleh permintaan luaran yang masih kukuh serta aktiviti domestik yang stabil,
Dalam nota kajiannya hari ini, firma itu berkata, peningkatan harga komoditi dan inflasi berpotensi menjejaskan penggunaan domestik serta perdagangan dalam tempoh akan datang.
"Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk peningkatan kos pengangkutan dan logistik yang boleh mengurangkan kuasa beli pengguna serta menjejaskan perbelanjaan swasta.
"Selain itu, penyusunan semula keutamaan fiskal kerajaan ke arah subsidi dan perbelanjaan operasi dijangka boleh mengehadkan momentum pelaburan.
“Risiko luaran juga semakin meningkat apabila perdagangan global menunjukkan pertumbuhan lebih perlahan di sa
Eksport Membantu Negara
GSI berkata di sebalik risiko tersebut, pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus disokong oleh prestasi eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E), khususnya permintaan semikonduktor berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, kekuatan permintaan global terhadap cip dan teknologi AI dijangka terus menjadi pemacu utama eksport Malaysia sekurang-kurangnya bagi separuh pertama 2026.
Pada masa sama, harga minyak dan komoditi yang kekal tinggi turut dijangka menyokong nilai eksport serta lebihan dagangan negara dalam tempoh terdekat.
Dari sudut dasar monetari, kestabilan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% bersama pelaksanaan subsidi bersasar dijangka membantu mengekalkan daya tahan permintaan domestik dan mengurangkan tekanan kos terhadap isi rumah serta perniagaan.
“Gabungan dasar monetari yang stabil dan langkah fiskal bersasar dijangka membantu mengimbangi kesan tekanan inflasi terhadap ekonomi domestik,” katanya.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 pada kadar 4.8% tahun ke tahun. - DagangNews.com








