KUALA LUMPUR 14 Nov – Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.2% pada suku ketiga 2025, meningkat berbanding 4.4% pada suku sebelumnya didorong permintaan dalam negeri dan pertumbuhan eksport yang lebih tinggi, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perbelanjaan isi rumah disokong oleh pasaran pekerja yang positif, langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan dan program bantuan tunai, manakala aktiviti pelaburan diterajui pengembangan modal oleh sektor swasta dan awam.
“Dari segi penawaran, pertumbuhan diterajui sektor perkhidmatan dan perkilangan. Sektor perkhidmatan berkembang terutamanya disumbang subsektor berkaitan pengguna, manakala sektor perkilangan dipacu oleh pengeluaran barangan elektrik dan elektronik serta barangan pengguna.
“Sektor perlombongan dan pengkuarian turut meningkat semula berikutan pemulihan pengeluaran minyak mentah dan gas asli selepas kerja penyelenggaraan berjadual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BNM berkata, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat 5.9% pada suku ketiga 2025 berbanding 5.2% pada suku sebelumnya, bon korporat terkumpul meningkat 7.3% berbanding 4.3% manakala pinjaman perniagaan berkembang 5.4% berbanding 4.5% susulan pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan, terutama dalam kalangan bukan PKS.
Pinjaman isi rumah menurun sedikit kepada 5.7%, tetapi permintaan terhadap pinjaman kekal stabil dengan kelulusan pinjaman berterusan.
BNM menjangkakan pertumbuhan Malaysia bagi tahun 2025 akan berada antara 4% hingga 4.8%, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, perbelanjaan isi rumah yang meningkat, pelaksanaan projek infrastruktur dan pelaburan swasta serta eksport yang pulih, terutamanya barangan E&E, pelancongan dalam negeri dan sektor perlombongan.
Abdul Rasheed berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.7% pada sembilan bulan pertama tahun 2025, iaitu dalam julat unjuran rasmi 4% hingga 4.8% yang mencerminkan daya tahan negara yang berterusan dalam menghadapi cabaran global.
“Pada masa hadapan, keadaan ekonomi global akan kekal mencabar dan kita perlu tetap memperkukuh penampan ekonomi negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan rintangan,” katanya.
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal sederhana dan stabil sehingga 2026, disokong oleh permintaan domestik yang mantap, keadaan pasaran pekerja yang stabil dan kos global yang terkawal.- DagangNews.com








