EG Industries terima tempahan suis rangkaian berteknologi dari AS bernilai AS$100 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EG Industries terima tempahan suis rangkaian berteknologi dari AS bernilai AS$100 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 JulaiEG Industries Berhad menerima tempahan besar dari sebuah firma global di Amerika Syarikat (AS) yang berpotensi menjana hasil mencecah kira-kira AS$100 juta (RM407 juta).

 

Tender itu melibatkan suis rangkaian berteknologi 'Co-Packaged Optics' (CPO), yang memperluaskan penglibatan infrastruktur pusat data (DC) dan rangkaian kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi.

 

Jelas kumpulan itu, anak syarikatnya, Genetronic (Malaysia) Sdn Bhd (GTR) memeterai surat hasrat (LOI) dengan penyedia rumusan rangkaian terbuka itu bagi pembuatan dan penjualan suis berkenaan.

 

"Kerjasama ini dijangka menjana hasil AS$100 juta, yang mengukuhkan buku tempahan dalam ekosistem AI, pengkomputeran awan serta pembangunan DC generasi baharu," maklum EG Industries kepada bursa.

 

Pelanggan dari AS itu merupakan penyedia rumusan bertaraf global yang memfokuskan kepada suis Ethernet berprestasi tinggi bagi DC dijana system teknologi awan berskala besar dan aplikasi AI.

 

Menerusi kerjasama berkenaan, kumpulan itu menghasilkan suis tersebut yang menawarkan jalur lebar lebih tinggi, penggunaan tenaga rendah dan kecekapan bagi memenuhi keperluan infrastruktur DC.

 

EG Industries_DagangNews2026

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EG Industries, Datuk Alex Kang berkata, syarikat mula melabur dan membangunkan keupayaan dalam teknologi Linear Pluggable Optics (LPO) serta CPO sejak 2022 lagi.

 

"Pemeteraian LOI itu membuktikan kejayaan strategi jangka panjang kumpulan dalam segmen teknologi rangkaian generasi baharu selaras dengan peningkatan permintaan global akhir-akhir ini," katanya.

 

Beliau berkata, selepas pengeluaran modul optik 800G berasaskan LPO, pengeluaran suis rangkaian CPO memperluaskan portfolio rumusan syarikat, terhadap teknologi menawarkan jalur lebar lebih tinggi.

 

Menurut Alex, EG industries yakin lebih banyak tempahan pembelian bagi produk CPO akan diterima pada masa depan apabila pelanggan mempercepat pelaksanaan projek prasarana DC disokong sistem AI.

 

Kerjasama itu dijangka menyumbang positif kepada hasil dan aset bersih bagi tahun kewangan 2027 dan 2028, serta memperkukuhkan strategi berkembang dalam segmen pembuatan teknologi bernilai tinggi.

 

"Prospek jangka panjang turut disokong pengembangan kapasiti kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang serta pelaburan strategik di Thailand termasuk kemudahan pembuatan baharu," katanya. - DagangNews.com