KUALA LUMPUR 15 Julai - Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) mengenal pasti potensi kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 51.88 megawatt (MW) daripada kilang kelapa sawit yang boleh dibangunkan di Semenanjung Malaysia, sebagai sebahagian usaha memperluaskan sumber tenaga rendah karbon negara.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pada masa sama kementerian melalui Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform Corporation sedang melaksanakan penilaian secara menyeluruh dan berperingkat terhadap potensi pembangunan program tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik jangka panjang di Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung pembinaan loji janakuasa nuklear dan hanya akan mempertimbangkannya selepas semua prasyarat berkaitan dipenuhi.
"Kerajaan ingin menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk membina loji janakuasa nuklear hanya akan dipertimbangkan selepas semua prasyarat berkaitan dipenuhi dan penilaian menunjukkan teknologi itu selamat, berdaya maju, mampan serta memberi manfaat kepada negara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai hasil kajian terhadap potensi sumber tenaga alternatif rendah karbon termasuk nuklear, biojisim, biogas dan geoterma bagi melengkapi sumber tenaga boleh baharu (TBB) sedia ada seperti solar dan hidro.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), Abdul Rahman berkata, hanya kira-kira 1% daripada keseluruhan potensi biogas negara telah dimanfaatkan setakat ini, sekali gus menunjukkan ruang yang besar untuk pembangunan sektor tersebut.
Beliau turut memaklumkan Seda, dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), sedang menjalankan kajian penilaian sumber geoterma di Ulu Slim, Perak.
Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja penggerudian penerokaan masih diperlukan bagi mengesahkan kapasiti sebenar serta kebolehlaksanaan pembangunan sumber geoterma di kawasan berkenaan.
Menurut Abdul Rahman, kerajaan akan terus mempelbagaikan sumber tenaga alternatif rendah karbon dan tidak bergantung kepada satu sumber atau teknologi semata-mata bagi menjamin keselamatan bekalan tenaga negara di samping mengekalkan tarif elektrik yang kompetitif.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi keutamaan strategik kepada pembangunan dan pemanfaatan sumber TBB yang telah terbukti berkesan serta berdaya maju, termasuk solar fotovolta, biojisim, biogas dan tenaga hidro, selaras dengan agenda peralihan tenaga negara. - BERNAMA








