Edgenta Academy, Asia Pacific University kukuhkan kerjasama industri-akademik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Edgenta Academy, Asia Pacific University kukuhkan kerjasama industri-akademik

Memorandum Penerokaan Perniagaan (MOBE) ini ditandatangani oleh Pengarah Edgenta Academy Sdn Bhd, Razman Ismail (dua dari kanan) dan disaksikan oleh Ketua EASB, Nuraida Ismail (kanan) manakala Ketua Pegawai Operasi,Gurpardeep Singh menandatangani bagi pihak Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Akademik dan Strategik), Prof. Ts. Dr. Murali Raman (kiri)
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov – UEM Edgenta Berhad, peneraju penyelesaian pengurusan aset dan infrastruktur di Malaysia, melalui unit pembelajaran dan pembangunannya, Edgenta Academy Sdn Bhd (EASB) memeterai Memorandum Penerokaan Perniagaan (MOBE) dengan Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU). 

 

Kerjasama ini bertujuan meneroka potensi dalam bidang latihan, penyelidikan, penglibatan industri dan pembangunan kawal selia.

 

Pemeteraian MOBE ini merupakan sebahagian daripada strategi EASB bagi tahun 2025 untuk mengeratkan kerjasama dengan institusi pendidikan dan memperkukuh peranannya dalam ekosistem pembelajaran dan pembangunan negara. 

 

Melalui inisiatif ini, EASB dan APU akan bersama-sama membangunkan program latihan yang canggih, menghubungkan kepakaran akademik dengan pengalaman industri, sambil menjalankan penyelidikan kolaboratif dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

 

Kerjasama ini dijangka melahirkan bakat yang dilengkapi kemahiran dan ketangkasan diperlukan untuk memacu tenaga kerja masa depan Malaysia, selari dengan komitmen berterusan UEM Edgenta terhadap pembangunan modal insan, inovasi dan kemajuan industri negara.

 

Pengarah Edgenta Academy Sdn Bhd merangkap Ketua Pegawai Sumber Manusia UEM Edgenta, Razman Ismai berkata, syarikat itu mengiktiraf bahawa kemajuan modal insan dan keupayaan industri adalah penting kepada aspirasi pertumbuhan Malaysia. 

 

“Melalui kerjasama dengan APU, kami berhasrat untuk menghubungkan sektor akademik dan industri dengan membangunkan inisiatif latihan dan pengetahuan yang berpandangan jauh, memupuk generasi profesional dan pemimpin akan datang.

 

“Kerjasama ini bukan sekadar kerjasama akademik, tetapi juga tentang mewujudkan saluran bakat yang mampan yang memenuhi permintaan industri yang sentiasa berubah. 

 

“Dengan menggabungkan kecemerlangan akademik APU dengan visi praktikal industri EASB, kami sedang membina rangka kerja yang menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi yang dipacu pengetahuan dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Memorandum ini ditandatangani oleh Razman Ismail disaksikan oleh Ketua EASB Nuraida Ismail manakala Ketua Pegawai Operasi APU,  Gurpardeep Singh mewakili universiti dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Akademik dan Strategik), Prof. Ts. Dr. Murali Raman.

 

APU merupakan salah sebuah universiti swasta terkemuka di Malaysia, disenaraikan sebagai 2% universiti terbaik di seluruh dunia dalam QS World University Rankings 2026. 

 

Ia juga merupakan universiti Malaysia pertama yang diiktiraf oleh UK Quality Assurance Agency for Higher Education (QAA) dan dianugerahkan penarafan QS 5-Stars Plus Rating. 

 

Dengan pelajar dari lebih 130 negara, kadar kebolehpasaran siswazah terbukti 100% dan lebih 500 anugerah sebagai pengiktirafan kecemerlangan akademik dan inovasi, APU diiktiraf di peringkat global sebagai pengeluar graduan yang bersedia untuk industri.

 

MOBE ini merupakan perjanjian tidak terikat dengan tempoh sah sehingga dua tahun dan boleh diperbaharui atas persetujuan bersama. 

 

Inisiatif ini mengukuhkan peranan UEM Edgenta sebagai peneraju korporat yang bertanggungjawab, komited menyumbang kepada pembangunan mampan negara dan kemajuan sosioekonomi jangka panjang melalui pendidikan, peningkatan kemahiran dan perkongsian yang dipacu inovasi. - DagangNews.com