EcoWorld ambil alih baki 40% saham Paragon Pinacle bagi projek pembangunan di Puncak Alam - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EcoWorld ambil alih baki 40% saham Paragon Pinacle bagi projek pembangunan di Puncak Alam - Maybank IB

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Pengambilalihan baki saham 40% Paragon Pinnacle Sdn Bhd (PPSB) oleh EcoWorld Malaysia (ECW) diramal menaikkan untung bersih kumpulan pada FY25, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, PPSB sedang menjalankan beberapa projek pembangunan di Puncak Alam termasuk Eco Grandeur and Eco Business Park V (EBPV), dengan baki tanah seluas 421.68 hektar.

 


Katanya, berdasarkan kos pemerolehan saham sebanyak RM184.1 juta, kos tanah ialah RM10.1 kaki per segi, yang menarik berbanding harga semasa yang diminta di kawasan itu yang biasanya antara RM25 hingga RM74 kaki persegi.

 


“Selain itu, ECW dijangka mendapat manfaat daripada kedua-dua projek ini apabila sudah matang di koridor pertumbuhan tinggi Puncak Alam," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 


Terdahulunya, ECW dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeterai perjanjian langganan pada FY16, di mana KWSP memperoleh 40% kepentingan dalam PPSB.

 

Baru-baru ini, KWSP melaksanakan opsyen menjual saham PPSB ini, menyebabkan ECW memperoleh baki 40% pegangan dalam syarikat itu dan seterusnya menjadi pemilik penuh PPSB.

 

"Kami melaraskan ramalan pendapatan FY25, FY26 dan FY27 kami masing-masing sebanyak 2%,1% dan 4% dengan pemilikan penuh Eco Grandeur dan EBPV, anggaran nilai aset bersih (RNAV) kami meningkat sebanyak 12 sen kepada RM3.04 sesaham.

 

"Penggearan bersih FY25 diunjurkan meningkat kepada 0.3 kali pemerolehan selepas pegangan," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan "beli" dengan menurunkan harga sasaran (TP) RM1.92 sesaham daripada RM2.34.

 

"Kami terus menyukai ECW kerana pengurusannya, rekod prestasi yang terbukti dan kedudukan utama dalam sektor hartanah," katanya. - DagangNews.com