Econpile diramal berisiko terancam disebabkan kurang projek infrastruktur mega - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Econpile diramal berisiko terancam disebabkan kurang projek infrastruktur mega - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Jun — Econpile Holdings Berhad diramal masih lagi boleh mengalami risiko terancam dari segi hasil kumpulan itu disebabkan kurang menerima pelbagai kontrak projek infrastruktur mega yang baharu, kata RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, penyusutan projek berskala besar berkenaan yang dilihat lebih perlahan daripada jangkaannya sendiri sejak kebelakangan ini memang merupakan kelemahan paling ketara dialami oleh syarikat itu.


Situasi hambar sedemikian tambahnya, turut diburukkan lagi dengan faktor harga bahan yang tidak menentu sehingga dijangka boleh menjejaskan kemajuan beberapa projek dilaksanakan ketika ini untuk disiapkan mengikut jadual.


"Kami setelah menilai perkembangan semasa yang dilalui Econpile akhir-akhir ini berpendapat, tiada perubahan pada anggaran pendapatan kumpulan berkenaan sepanjang tahun kewangan 2025 ," kata RHB Research dalam nota kajiannya.


Ia merujuk kejayaan pemerolehan tender terkini yang diterima pada 30 Mei 2025 melibatkan subkontrak projek Rapid Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang bernilai RM42.8 juta dan kerja itu bermula 1 Ogos 2025.


Kemenangan baharu tersebut merupakan kontrak kelapan pada FY25 dan sebenarnya menurut firma itu, masih dalam sasaran penambahan kerja kumpulan berkenaan dengan anggaran buku tempahan tertunggak terkini telah mencecah RM480 juta.


Rekod diperoleh Econpile itu melepasi sasaran RHB Research sendiri sebanyak RM300 juta untuk FY25  termasuk pemasangan cerucuk untuk kondominium, jambatan dan bangunan komersial pembangunan bercampur selain kerja-kerja berkaitan rel.


Secara keseluruhan, buku tender kumpulan itu katanya, sudah berjumlah RM1 bilion, dengan meliputi kontrak sektor swasta dan awam dengan potensi seterusnya termasuk projek cerucuk Sungai Klang Link yang dianggarkan RM500 juta.


"Berdasarkan perkembangan semasa ini, kami masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan Econpile dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada 42 sen setelah hasil FY26 diunjur meningkat satu peratus," katanya. - DagangNews.com