KUALA LUMPUR 26 Jan - EcoCeres Inc., sebuah syarikat bahan api boleh diperbaharui yang berpangkalan di Hong Kong, melancarkan loji Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF) pertama di Malaysia di Pasir Gudang, Johor, menandakan pencapaian penting bagi peralihan tenaga hijau negara.
Loji ini, yang memulakan operasi pada Oktober 2025, juga menghasilkan Hydrotreated Vegetable Oil (HVO) dan Renewable Naphtha, dengan kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 350,000 tan setahun.
Majlis perasmian dilakukan oleh Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia dan Dr. Peter Lee, Pengerusi Towngas dan pelabur pengasas EcoCeres.
Majlis turut dihadiri Eddie Cheung, Setiausaha Tetap bagi Alam Sekitar dan Ekologi Kerajaan Hong Kong, serta Pengerusi Bersama EcoCeres, Alan Chan dan James Tam, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Matti Lievonen.
Dr. Peter menekankan kepentingan loji baru ini, berkata: “EcoCeres telah berkembang daripada sebuah makmal di Hong Kong menjadi salah satu pengeluar SAF terkemuka dunia. Loji di Johor ini menunjukkan bagaimana komitmen serantau terhadap kelestarian boleh menyumbang kepada penyelesaian iklim global.”
Seiring dengan itu, Eddie Cheung menyatakan bahawa loji SAF di Johor mencerminkan visi Kerajaan Hong Kong untuk mencapai neutral karbon serta peranannya sebagai “superconnector” serantau bagi pelaburan dan inovasi hijau.
EcoCeres, yang membangunkan teknologi proprietary penukaran sisa kepada bahan api di Hong Kong, sebelum ini telah memperluaskan pengeluaran melalui loji pertamanya di Zhangjiagang, China, menjadikan syarikat ini antara pengeluar SAF terbesar dari segi jumlah.
CEO, Matti Lievonen berkata loji di Johor adalah “langkah besar ke hadapan bagi industri bahan api boleh diperbaharui Malaysia” dan menunjukkan komitmen EcoCeres terhadap bekalan yang boleh dipercayai serta kualiti produk yang tinggi sejajar dengan permintaan yang meningkat untuk bahan api lestari dalam industri penerbangan, maritim, pengangkutan, perlombongan, dan kimia.
Loji ini sejajar dengan sasaran Malaysia untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050 dan menunjukkan bagaimana modal, teknologi, dan ekosistem perkhidmatan profesional Hong Kong boleh menyokong penyelesaian iklim di peringkat serantau.
Dengan menukar sisa dan bahan buangan kepada bahan api rendah karbon, EcoCeres menyokong ekonomi kitar semula Malaysia serta pertumbuhan industri hijau.

Dr. Noraini menekankan sokongan kerajaan terhadap EcoCeres, berkata: “Projek ini memupuk inovasi dalam bahan api boleh diperbaharui, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, mengurangkan pelepasan karbon, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi hijau. Ia selaras dengan Pelan Tindakan Peralihan Tenaga Negara dan Dasar Komoditi Negara (DAKN) 2030.”
EcoCeres terus memperluaskan jejak globalnya, dengan loji di Zhangjiagang dan loji baharu di Johor secara keseluruhan mampu menghasilkan 770,000 tan bahan api boleh diperbaharui setiap tahun.
Usaha syarikat ini turut mengukuhkan peranan Hong Kong sebagai hab serantau bagi pembangunan tenaga lestari sambil menyokong usaha global mengurangkan karbon. - DagangNews.com








