Eco World International kini dikenali sebagai EWI Capital Bhd; Nama saham baharu “EWICAP” mulai 7 Julai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eco World International kini dikenali sebagai EWI Capital Bhd; Nama saham baharu “EWICAP” mulai 7 Julai

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 3 Julai – Eco World International Bhd menukar namanya kepada EWI Capital Bhd, dan saham syarikat akan didagangkan di bawah nama baharu itu bermula Isnin depan, 7 Julai 2025.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat memaklumkan bahawa nama singkatan saham baharu ialah “EWICAP”, menggantikan nama singkatan lama “EWINT”. Kod saham syarikat bagaimanapun kekal tidak berubah.

 

Pemaju hartanah itu, yang ditubuhkan pada 2013 untuk memberi tumpuan kepada projek di luar negara, mencadangkan penukaran nama pada Mei lalu selepas mengumumkan peralihan tumpuan ke pasaran Malaysia, susulan cabaran yang dihadapi di pasaran UK dan Australia sejak pandemik Covid-19.

 

Sejak berita mengenai perubahan strategi ini diumumkan, saham syarikat mencatatkan trend menaik, meningkat lebih 18% kepada 32 sen setakat urus niaga hari ini, sekali gus menilai Eco World International pada RM768 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: EcoWorld International berpisah dengan EcoWorld Malaysia, tamatkan perjanjian dimeterai 2016

 

Sebagai sebahagian daripada langkah penjenamaan semula ini, syarikat turut menamatkan perjanjian pelesenan jenama bersama pemegang saham terbesarnya, Eco World Development Group Bhd, yang sebelum ini membolehkan penggunaan nama jenama ‘EcoWorld’ dan mengehadkan syarikat daripada melaksanakan projek hartanah di Malaysia.

 

Setakat ini, Eco World Development Group memiliki pegangan sebanyak 29% dalam Eco World International, diikuti oleh syarikat pemaju hartanah tempatan, Paramount Corp Bhd, dengan pegangan sebanyak 21.54%- DagangNews.com