KUALA LUMPUR 9 Jun – ECA Integrated Solution Berhad mengambil langkah strategik dengan berhasrat melepaskan sebanyak 70% pegangan dalam anak syarikat milik penuhnya, ECA Innotech Sdn Bhd (EISB).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, usaha tersebut membuka ruang kepada kerjasama dengan pembeli yang memiliki kepakaran bidang automasi industri dan pembangunan korporat.
Syarikat itu memeterai perjanjian jual beli saham (SPA) pada 8 Jun 2026 untuk melupuskan 70,000 saham biasa atau 70% ekuiti dalam EISB kepada Wong Kah Yeong dan Hu Jun pada harga tunai RM70,000.
"Selepas urus niaga itu dimuktamadkan, EISB tidak lagi menjadi anak syarikat milik penuh ECA, sebaliknya akan berstatus syarikat bersekutu dengan ECA mengekalkan pegangan 30%," jelasnya lagi.
Langkah ini merupakan sebahagian strategi untuk memperkukuh keupayaan teknikal dan memperluaskan peluang perniagaan EISB menerusi penyertaan dua pelabur berkenaan sebagai rakan strategik baharu.
Wong Kah Yeong, 37, merupakan rakyat Malaysia yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam perakaunan dan kewangan, khususnya aspek pembangunan struktur kewangan korporat dan operasi perniagaan.
Sementara itu, Hu Jun, 42, pula merupakan warga China dengan lebih dua dekad pengalaman dalam industri automasi dan sistem ujian, selain memiliki rangkaian vendor antarabangsa pelbagai sektor yang luas.

"Gabungan kepakaran dua individu itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi EISB, memperkukuh keupayaan teknikal serta memperluaskan akses kepada banyak peluang perniagaan baharu," tambah ECA.
Kumpulan itu berkata, EISB yang ditubuhkan pihak pengurusan syarikat pada November 2024 terlibat dalam reka bentuk, perundingan, pembuatan dan penjualan peralatan ujian serta automasi tersuai.
Fokus subsidiari tersebut ujarnya, termasuk sistem pemasangan papan litar bercetak (PCBA), komponen pemesinan, sensor, kamera, pengawal dan pelbagai perkhidmatan penyelenggaraan yang berkaitan.
Berdasarkan penyata kewangan teraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025, EISB mempunyai aset bersih mencecah sebanyak RM99,970 dengan mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) RM6,009.
"Harga pelupusan ditetapkan berdasarkan persetujuan antara pembeli dan penjual selepas diambil kira nilai aset bersih terkini serta manfaat strategik diperoleh menerusi kerjasama tersebut," katanya.
ECA menegaskan yang pelupusan itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih, penggearan atau pegangan saham utama syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2026.
Lembaga pengarah berpandangan urus niaga itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat kerana mampu menyokong pertumbuhan jangka panjang EISB tanpa memerlukan ECA melepaskan keseluruhan ekuiti.
Transaksi itu namun masih tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat dalam perjanjian, dengan cadangan pelupusan dijangka dimuktamadkan menjelang suku ketiga tahun 2026. - DagangNews.com








