KUALA LUMPUR 24 Jun – Eastern Steel Sdn Bhd melakar sejarah baharu dalam landskap perindustrian negara apabila melancarkan Pengisytiharan Produk Alam Sekitar (EPD) keluli mentah pertama di Malaysia, satu inisiatif penting ke arah ketelusan dan akauntabiliti alam sekitar dalam sektor pembuatan.
Inisiatif bersejarah ini direalisasikan menerusi kerjasama dengan E-C Digital, syarikat teknologi pengkuantifikasian karbon yang baru-baru ini menubuhkan anak syarikatnya di Malaysia bagi memperkukuh agenda kelestarian serantau.
Pelancaran EPD ini disempurnakan dalam acara “Transformasi Industri Perkilangan Malaysia" anjuran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), sekaligus menandakan peralihan industri ke arah pelaporan alam sekitar yang telus dan berasaskan data.
Langkah ini juga membantu pengeluar tempatan menepati piawaian antarabangsa seperti Carbon Border Adjustment Mechanism (CBAM) Kesatuan Eropah dan permintaan rantaian bekalan global untuk data karbon yang disahkan.
Dalam satu kenyataan, Eastern Steel menyifatkan EPD sebagai “label nutrisi alam sekitar” yang menyampaikan hasil Penilaian Kitar Hayat (LCA) secara standard dan mudah difahami.
Tambah syarikat itu lagi, pengisytiharan kendiri tidak lagi mencukupi. EPD ini dibina atas asas saintifik LCA dan proses MRV (pengukuran, pelaporan dan pengesahan) yang ketat, sekaligus menonjolkan kuasa data yang boleh disahkan.
Eastern Steel menjelaskan, dengan mengadaptasi amalan terbaik antarabangsa dalam LCA dan pengesahan pihak ketiga, mereka bukan sahaja menyokong matlamat iklim negara, malah meletakkan penanda aras dalam tadbir urus korporat yang telus untuk dicontohi oleh pihak industri lain.
Pengarah Eksekutif Eastern Steel, Datuk Tee Choon Hock berkata, komitmen syarikat terhadap proses EPD yang teliti mencerminkan dedikasi mereka terhadap standard ketelusan tertinggi.
“Syarikat percaya pelanggan berhak mengetahui jejak alam sekitar produk mereka yang telah disahkan. Keseluruhan proses ini, dari LCA terperinci sehinggalah pengesahan akhir pihak ketiga, bukan sahaja mengukuhkan tadbir urus dalaman, malah memberikan keyakinan kukuh kepada rakan industri terhadap komitmen kami dalam pembuatan lestari,” katanya.
Sementara itu, perkembangan E-C Digital ke Malaysia dan rantau ASEAN secara umumnya membawa teknologi dan kepakaran pengurusan karbon bertaraf dunia lebih dekat kepada pengeluar tempatan.
E-C Digital (Easy Carbon Digital) – tampil dengan misi untuk memudahkan pengurusan karbon yang kompleks melalui platform SaaS canggih milik mereka.
Dengan kehadiran yang kian berkembang di Malaysia, E-C Digital komited untuk menyokong matlamat kelestarian jangka panjang rantau ini melalui kepakaran mendalam dalam pengkuantifikasian pelepasan karbon industri.
Acara pelancaran turut menekankan peranan yang semakin penting bagi pensijilan produk hijau dalam landskap kelestarian Malaysia. SustainBuild Mark (SB Mark) yang dianugerahkan oleh Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), bakal menjadi platform penting bagi pengeluar tempatan mempamerkan kredensial alam sekitar mereka dan menepati piawaian bangunan hijau.
SB Mark yang dijangka dilancarkan pada Ogos 2025 akan menjadi panduan kepada industri pembinaan dalam peralihan ke arah masa depan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.
Pensijilan ini menekankan pendekatan pengisytiharan kendiri berasaskan prinsip ISO 14021, membolehkan pengimport dan pengilang menunjukkan prestasi alam sekitar produk mereka melalui dakwaan yang jelas dan disokong bukti. - DagangNews.com








