KUALA LUMPUR 20 Feb — Syarikat pengangkutan marin dan penyimpanan luar pesisir, EA Technique (M) Berhad telah dilupuskan daripada status Nota Amalan 17 (PN17) yang berkuat kuasa pada hari ini.
Dalam satu makluman difailkan, syarikat itu berkata bahawa Bursa Malaysia Securities telah meluluskan permohonan untuk menarik status PN17 selepas ia berjaya mengawal selia keadaan kewangannya.
EA Technique diberikan status PN17 pada Februari 2022, selepas ekuiti pemegang sahamnya sebanyak RM5.96 juta pada Disember 2021 dicatatkan kurang 50 peratus daripada modal sahamnya iaitu RM179.76 juta.
Permohonan bagi pengalihan keluar status PN17 dibuat setelah suku terakhir pada 31 Disember 2024 disempurnakan dengan ia mencatatkan keuntungan bersih RM25.17 juta daripada perolehan RM29.3 juta.
Suku keempat 2024 lalu merupakan suku terakhir yang diperlukan bagi meneruskan permohonan itu menjelang EA Technique akan berurus niaga di bawah nama baharu iaitu Avangaad Berhad pada Isnin depan.
Sementara itu, pelan penyusunan telah disiapkan pada 2024 melibatkan penerbitan 795.75 juta saham baharu kepada Voultier Sdn Bhd dengan harga RM79.6 juta, menjadikan ia pemegang terbesar iaitu 51 peratus.
Perolehan itu diperuntukkan untuk kewajipan kewangan dan modal kerjanya. Turut dilampirkan pada pelan penyusunan semula adalah Voultier dikecualikan daripada perlu membuat tawaran pengambilalihan mandatori.
Voultier dimiliki 70 peratus oleh Datuk Mubarak Hussain Akhtar Husin manakala 30 peratus oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Kinergy Advancement Bhd, Datuk Lai Keng Onn.
Saham dalam EA Technique berakhir satu sen atau 2.9 peratus lebih tinggi pada 35.5 sen pada petang Rabu, dengan nilai modal syarikat berkenaan adalah RM463.46 juta. - DagangNews.com








