DXN bina kilang pemprosesan kopi di Brazil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DXN bina kilang pemprosesan kopi di Brazil

Gambar BH Online
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt – DXN Holdings Bhd, syarikat jualan langsung produk kesihatan bakal memperluaskan operasinya ke Brazil dengan pembinaan kilang pemprosesan kopi baharu di Minas Gerais.

 

Pengerusi Eksekutif dan Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata, keputusan itu dibuat selepas kejayaan besar operasi syarikat di Peru dan Bolivia yang kini menjadi antara penyumbang utama hasil kumpulan. 

 

“Amerika Latin  menyumbang hampir 60% atau lebih RM1 bilion kepada pendapatan DXN bagi tahun kewangan 2025.

 

“Oleh itu, membina kilang di Brazil adalah langkah paling tepat dalam memperkukuh kehadiran DXN di rantau berkenaan memandangkan pasarannya antara yang terbesar di dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kilang baharu itu nanti tidak sekadar  menghasilkan kopi biasa, sebaliknya DXN juga akan memperkenalkan beberapa inovasi yang dibangunkan di Malaysia.

 

Antaranya seperti kopi berasaskan rumpai laut, kopi fermentasi serta teh yang dibuat daripada daun kopi, satu konsep baharu yang masih sukar didapati di Brazil.

 

Beliau berkata, dengan kepakaran dan teknologi yang dimiliki, DXN berhasrat menjadikan pasaran Brazil sebagai penanda aras baharu dalam penghasilan produk kopi yang lebih lestari dan memfokuskan kepada kesihatan.

 

Sebagai langkah persediaan, DXN telah membuka pejabat pertamanya di São Paulo pada April 2024 untuk menyelaras operasi dan membina rangkaian pengedar tempatan. 

 

“Sejak itu, lebih 11,000 ahli baharu telah mendaftar di Brazil, menunjukkan sambutan positif terhadap produk DXN dari Malaysia.

 

“Kerajaan tempatan di Ibia, Minas Gerais turut menyokong pelaburan tersebut dengan menawarkan 10 hektar tanah percuma serta mempercepatkan proses kelulusan pelaburan,” katanya.

 

Tambahnya, keadaan tanah dan iklim di Brazil hampir sama dengan Malaysia, memudahkan DXN menyesuaikan kaedah penanaman dan pengeluaran sedia ada.

 

“Kos tanah yang rendah dan dasar kerajaan yang mesra pelabur menjadikan Brazil lokasi strategik untuk syarikat Malaysia mengembangkan operasi antarabangsa,” katanya.

 

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara DXN dan kerajaan perbandaran Ibia dijangka berlangsung pada pertengahan November 2025.

 

Beliau berkata, Datuk Bandar Ibia, Gillianno Mamão menyambut baik rancangan DXN dan menyatakan kesediaan Brazil untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dengan Malaysia, sejajar dengan dasar Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.

 

"Kini, DXN mempunyai lebih 10 juta ahli aktif di seluruh dunia, dengan 60% daripadanya di Amerika Latin," katanya.

 

Pembukaan kilang di Brazil dijangka meningkatkan kecekapan pengeluaran, menambah kapasiti tempatan serta mengukuhkan kedudukan DXN sebagai syarikat jualan langsung dalam produk kopi dan kesihatan. - DagangNews.com