KUALA LUMPUR 14 Nov – Duopharma Biotech (DBB) dijangka berdepan impak pendapatan sekitar 5% ke atas unjuran FY26, berdasarkan margin bersih sekitar 10% jika berlaku perubahan struktur dalam tender pembekalan insulin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, industri farmaseutikal terus menantikan keputusan tender penting melibatkan kontrak bekalan dan pengedaran insulin manusia, apabila kontrak sedia ada milik DBB tamat pada 28 Oktober lalu.
Walaupun keputusan tender dijangka diumumkan pada akhir Oktober, KKM masih belum mengeluarkan sebarang pengumuman anugerah utama.
Kata RHB, kelewatan ini membuka ruang kepada potensi perubahan struktur pembekalan, termasuk kemungkinan model pembekal berganda (dual supplier) menggantikan pengaturan pembekal tunggal sedia ada.
"Sekiranya KKM memutuskan untuk membahagikan kontrak secara sama rata antara DBB dan pesaingnya, DBB dijangka berdepan impak pendapatan sekitar 5% ke atas unjuran FY26, berdasarkan margin bersih sekitar 10%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB berkata, walaupun ketidaktentuan berhubung kontrak insulin masih berlarutan, prospek DBB secara keseluruhan kekal disokong oleh surat anugerah tambahan daripada KKM untuk pembekalan produk farmaseutikal di bawah kontrak APPL.
Peningkatan peruntukan belanjawan kesihatan, yang dijangka meningkatkan jualan DBB kepada sektor awam — mewakili kira-kira 50% daripada jumlah jualan tahun 2024.
Penstabilan harga bahan aktif farmaseutikal (API) serta kelemahan dolar Amerika yang berpotensi menyokong margin keuntungan dalam jangka terdekat.
Sehubungan itu, RHB mengekalkan unjuran pendapatan memandangkan keputusan kewangan sejajar jangkaan.
Harga sasaran berdasarkan DCF pula disemak naik sedikit kepada RM1.60, selepas penyegaran andaian DCF dan peralihan tahun asas kepada 2026F. Sasaran ini turut merangkumi premium ESG sebanyak 8%," katanya.
Menurut RHB, antara risiko utama terhadap prestasi DBB ialah volum jualan yang lebih rendah daripada jangkaan, pengukuhan dolar Amerika berbanding Ringgit Malaysia dan kos operasi yang lebih tinggi daripada anggaran. - DagangNews.com








