DNeX peroleh kontrak IT bantu semakan awal imigresen di tujuh lapangan terbang antarabangsa bagi musim Haji 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX peroleh kontrak IT bantu semakan awal imigresen di tujuh lapangan terbang antarabangsa bagi musim Haji 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 April – Dagang NeXchange Berhad (DNeX) melalui anak syarikat milik penuhnya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd memperoleh kontrak bagi inisiatif khas Laluan Makkah Arab Saudi untuk musim Haji 1447H/2026.

 

Kontrak baharu ini mengekalkan peranan DNeX sebagai rakan teknologi utama dalam pelaksanaan program tersebut, yang melibatkan penyediaan sokongan teknologi, logistik serta infrastruktur telekomunikasi di beberapa negara terlibat.

 

Bagi musim Haji 2026, DNeX akan melaksanakan skop kerja di tujuh lapangan terbang antarabangsa di Malaysia, Indonesia dan Türkiye, berbanding enam lokasi pada musim Haji sebelumnya.

 

Lapangan terbang terlibat termasuk Terminal 1 KLIA (Malaysia), Soekarno-Hatta, Juanda, Adi Soemarmo dan Sultan Hasanuddin (Indonesia), serta Istanbul Airport dan Ankara Esenboğa Airport di Türkiye.

 

Penambahan satu lokasi baharu di Indonesia turut menjadikan jumlah keseluruhan tapak operasi meningkat kepada tujuh, sekali gus memperkukuh kehadiran DNeX dalam ekosistem teknologi sokongan Haji di peringkat antarabangsa.

 

DNeX telah terlibat dalam program Laluan Makkah sejak 2019, menjadikannya antara penyedia teknologi yang mempunyai rekod penyertaan berterusan dalam inisiatif tersebut.

 

Program Laluan Makkah merupakan inisiatif rasmi Kerajaan Arab Saudi di bawah Kementerian Dalam Negeri melalui Program Pengalaman Jemaah Haji, yang membolehkan jemaah dari Pakistan, Malaysia, Indonesia, Maghribi, Bangladesh, Türkiye dan Côte d’Ivoire menyelesaikan proses imigresen di negara asal sebelum berlepas ke Arab Saudi.

 

Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan proses ketibaan jemaah serta meningkatkan kecekapan dan pengalaman keseluruhan mereka ketika menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor berkata, pengekalan serta peluasan peranan syarikat mencerminkan kepercayaan berterusan terhadap keupayaan DNeX dalam melaksanakan projek berskala besar dan kritikal di peringkat antarabangsa.

 

Beliau berkata, peningkatan bilangan lokasi operasi serta penambahan tapak baharu membuktikan keyakinan rakan strategik terhadap kebolehpercayaan dan keupayaan teknikal DNeX dalam menyediakan infrastruktur yang stabil dan berkesan.

 

Dalam masa yang sama, DNeX turut bekerjasama rapat dengan Elm Company, sebuah entiti milik kerajaan Arab Saudi di bawah Dana Pelaburan Awam (Public Investment Fund) yang memainkan peranan penting dalam menyokong agenda transformasi digital negara tersebut.

 

Selain program Laluan Makkah, DNeX turut meneroka potensi kerjasama komersial yang lebih luas dengan Elm Company dalam bidang pengangkutan dan keselamatan, namun ia masih di peringkat penerokaan dan belum dimeterai sebagai kontrak rasmi.

 

Syarikat itu menyatakan keyakinan bahawa penglibatan berterusan dalam program ini akan terus menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang, selain memperkukuh aliran pendapatan berulang daripada projek antarabangsa.

 

Dengan perkembangan ini, DNeX dilihat terus mengembangkan jejak globalnya dalam sektor teknologi kerajaan dan infrastruktur, selaras dengan usaha memperkukuh nilai pemegang saham dalam jangka panjang. - DagangNews.com