KUALA LUMPUR 10 Nov – Divfex Bhd terus memperkukuh kedudukannya dalam segmen teknologi maklumat dan komunikasi apabila anak syarikat milik penuhnya, Diversified Gateway Bhd (DGB), berjaya memperoleh kontrak bernilai RM18.74 juta daripada Fiberail Sdn Bhd bagi membekal, memasang, menguji dan menyiapkan sistem rangkaian pelanggan serta sistem pengurusan bagi tempoh 14 tahun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Divfex menjelaskan surat anugerah (LOA) bertarikh 7 November 2025 itu meliputi tempoh kerja bermula tahun 2025 hingga 2040, dengan khidmat penyelenggaraan dan sokongan akan diteruskan selepas tamat tempoh jaminan selama setahun.
Menurut syarikat itu, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan Divfex bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FYE2026), selaras dengan strategi kumpulan memperkukuh segmen perniagaan rangkaian terurus (managed network business) yang menjadi teras pertumbuhan jangka panjangnya.
Fiberail, yang ditubuhkan pada tahun 1989, merupakan penyedia perkhidmatan rangkaian berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan memainkan peranan penting sebagai tulang belakang infrastruktur telekomunikasi negara.
Divfex menegaskan penganugerahan kontrak ini tidak akan memberi kesan terhadap modal saham terbitan mahupun kepentingan pemegang saham utama, namun bakal mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang kumpulan serta menegaskan peranannya sebagai penyedia penyelesaian teknologi yang dipercayai dalam landskap infrastruktur digital negara yang kian berkembang pesat. - DagangNews.com








