Dialog terima LOA kontrak perkongsian pengeluaran Cendramas dari PETRONAS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dialog terima LOA kontrak perkongsian pengeluaran Cendramas dari PETRONAS

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Feb – Dialog Group Berhad (DialogI) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Dialog Resources Sdn Bhd (DRSB), telah menerima Surat Penganugerahan (LOA) daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berkaitan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Cendramas pada 10 Februari 2026.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, DRSB, bersama Medco Asia Pacific Limited dan EnQuest Petroleum Production Malaysia Limited, adalah rakan kongsi yang dicadangkan bagi projek PSC Cendramas.

 

"Penglibatan ini masih tertakluk kepada pemuktamadan Perjanjian Operasi Bersama, pelaksanaan PSC serta pemenuhan semua syarat pra-syarat yang ditetapkan PETRONAS," katanya dalam kenyataan itu

 

PSC Cendramas yang merupakan aset pengeluaran dijangka menjadi pemangkin kepada pengembangan perniagaan hulu Dialog selaras dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh integrasi dalam sektor tenaga hulu, tengah, hiliran dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Penyertaan ini juga melengkap dan  memperkukuh pelaburan dan pengendalian sedia ada dalam perniagaan hulu, selaras dengan strategi kumpulan untuk mempelbagaikan sektor tenaga dan menjana pendapatan berulang jangka panjang.

 

Menurut kenyataan itu lagi,  penyertaan dalam projek-projek hulu baharu membolehkan Dialog memposisikan dirinya secara strategik bagi menghadapi pelbagai kitaran ekonomi serta turun naik harga minyak.

 

Menurut Dialog penglibatan dalam PSC ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham, pegangan pemegang saham utama, pendapatan, aset bersih atau leverage bagi tahun kewangan semasa.

 

Bagaimanapun, projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan. - DagangNews.com