KUALA LUMPUR 3 April - Dialog Group Bhd (Dialog) memeterai Kontrak Perkongsian Pengeluaran Cendramas (Cendramas PSC) bersama Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) serta rakan kongsi Medco Asia Pacific Ltd dan EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Dialog berkata perjanjian itu dimeterai menerusi anak syarikat milik penuhnya, Dialog Resources Sdn Bhd (DRSB), sekali gus memuktamadkan penglibatannya dalam aset pengeluaran berkenaan.
Di bawah struktur pegangan, DRSB dan EnQuest masing-masing memiliki 25% kepentingan sebagai rakan kongsi bukan pengendali, manakala Medco bertindak sebagai pengendali dengan pegangan 50%.
Cendramas PSC yang terletak di luar pesisir Pantai Semenanjung Malaysia merangkumi beberapa komitmen kerja minimum termasuk penggerudian telaga penilaian dan infill, pembangunan sumber yang telah ditemui serta kerja-kerja lanjutan hayat aset.
Menurut Dialog, kontrak tersebut akan berkuat kuasa mulai 23 September 2026 untuk tempoh 20 tahun, sekali gus memberi peluang kepada rakan kongsi melanjutkan jangka hayat medan serta membuka potensi hidrokarbon tambahan.
“Penyertaan ini merupakan lanjutan kepada perniagaan huluan kumpulan dan akan memperkukuh integrasi merentas rantaian nilai tenaga meliputi segmen huluan, pertengahan dan hiliran,” katanya.
Dialog berkata, langkah itu juga melengkapkan pelaburan sedia ada dalam perniagaan huluan, di samping menyokong strategi kepelbagaian kumpulan bagi menghadapi kitaran ekonomi dan turun naik harga minyak.
Tambahnya, pendekatan tersebut sejajar dengan matlamat jangka panjang kumpulan untuk menjana pendapatan berulang yang mampan.
Dari sudut kewangan, Cendramas PSC dijangka tidak memberi kesan material terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, pendapatan, aset bersih serta tahap gearan Dialog bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Bagaimanapun, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan pada masa hadapan. - DagangNews.com








