Dialog jual 51% ekuiti dalam Dialog Diyou PCR, tumpu semula kepada perniagaan teras tenaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dialog jual 51% ekuiti dalam Dialog Diyou PCR, tumpu semula kepada perniagaan teras tenaga

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 MacDialog Group Berhad menjual keseluruhan pegangan 51% dalam syarikat usaha sama (JV) Dialog Diyou PCR Sdn Bhd sebagai langkah penyusunan semula strategi perniagaan.


Kumpulan tersebut berkata, anak syarikat milik penuhnya, Dialog Chemicals Sdn Bhd (DCSB), bersama-sama dengan rakan kongsinya secara rasmi memeterai perjanjian jual beli saham pada 16 Mac 2026.


Melalui transaksi itu, DCSB melupuskan kira-kira 1,020,000 saham biasa, mewakili keseluruhan ekuiti 51% dalam Dialog Diyou PCR kepada Ocean Fund Holdings Pte Ltd dan Circulate Capital Ocean Fund I-B.


"Nilai transaksi melibatkan bayaran tunai RM1 kepada setiap penjual, manakala pembeli itu pula menyuntik AS$8.5 juta (RM33 juta) langsung ke dalam Dialog Diyou PCR," maklum Dialog kepada Bursa Malaysia.


Suntikan itu jelasnya, bagi melangsaikan habis pinjaman bank syarikat tersebut. Dialog Diyou PCR terlibat pengeluaran dan pemasaran pelet polyethylene terephthalate kitar semula gred makanan.


Bagaimanapun menurut kumpulan berkenaan, operasi syarikat itu sudah dihentikan, dengan keputusan pelupusan dibuat selepas ada pembeli menyatakan minat untuk mengambil alih syarikat berkenaan.


Langkah itu jelas Dialog, dilihat sebagai masa yang sesuai bagi kumpulan itu menstruktur semula portfolio perniagaannya dan membolehkan ia menyelaraskan semula fokus kepada perniagaan teras.


"Ini terutama sektor tenaga, serta meletakkan kumpulan pada kedudukan kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya. Kos pelaburan asal DCSB dalam Dialog Diyou PCR adalah RM23.02 juta.


Namun kumpulan itu sudah membuat peruntukan rosot nilai sepenuhnya pada Februari 2025, dengan transaksi pelupusan tersebut tidak menghasilkan keuntungan atau kerugian ketara kepada kumpulan.


Selepas transaksi tersebut selesai, Dialog Diyou PCR tidak lagi menjadi syarikat JV dengan Dialog dan perjanjian pemegang saham yang dimeterai pada November 2021 akan ditamatkan secara muktamad.


Penyelesaian transaksi berkenaan katanya, dijangka selesai dalam tempoh 25 hari bekerja dari tarikh perjanjian jual beli saham atau tarikh lain yang dipersetujui oleh kesemua pihak.


"Pelupusan ini tidak memberi kesan material kepada modal saham, pegangan pemegang saham utama, pendapatan, aset bersih atau tahap penggearan kumpulan," tegas Dialog dalam makluman tersebut.


Selain itu jelasnya, transaksi berkenaan turut tidak memerlukan sebarang kelulusan pihak berkuasa berkaitan atau pemegang saham syarikat. - DagangNews.com