DHL Express, MAG bekerjasama guna bahan api lestari kurangkan pelepasan karbon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DHL Express, MAG bekerjasama guna bahan api lestari kurangkan pelepasan karbon

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mac – DHL Express telah menandatangani perjanjian dengan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, bagi menggunakan perkhidmatan GoGreen Plus.

 

Kerjasama ini bertujuan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca daripada penghantaran antarabangsa yang dilaksanakan oleh DHL Express. 

 

Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kira-kira 300 tan karbon dioksida sepanjang hayat pada tahun 2026 berbanding tahun sebelumnya.

 

GoGreen Plus membolehkan pelanggan menggunakan bahan api penerbangan lestari (SAF) yang dihasilkan daripada bahan sisa seperti minyak masak terpakai dan sisa bahan organik yang lain.

 

Penggunaan bahan api ini dapat mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sehingga 80 peratus berbanding bahan api jet biasa.

 

DHL menggunakan bahan api penerbangan lestari dalam operasi mereka. Walaupun penghantaran MAG tidak menggunakan bahan api ini secara langsung, MAG tetap boleh mengaitkannya sebagai sebahagian daripada inisiatif dalam pengurangan karbon daripada penghantaran mereka.

 

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata penggunaan bahan api penerbangan lestari kini menjadi salah satu penyelesaian paling berkesan untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada pengangkutan udara jarak jauh.

 

“Kerjasama dengan MAG menunjukkan sokongan penerbangan nasional terhadap penggunaan bahan api rendah karbon dan dapat mempercepatkan penerimaan teknologi ini di seluruh sektor penerbangan.

 

“Langganan MAG kepada perkhidmatan GoGreen Plus meliputi kargo udara masuk dan keluar melalui laluan dagangan merentasi Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Pasifik,” katanya.

 

Langkah ini juga menyokong agenda kelestarian korporat MAG dengan menangani pelepasan karbon yang berkaitan dengan operasi logistik antarabangsa mereka sendiri.

 

Sejak 2021, MAG telah mengendalikan penerbangan menggunakan bahan api lestari dalam perkhidmatan penumpang dan kargo, membina kesiapsiagaan operasi dan infrastruktur rangkaian mereka.

 

Pada 2025, MAG melaksanakan ujian bahan api lestari selama dua minggu di laluan Kuala Lumpur–London untuk menilai kesiapsiagaan rantaian bekalan tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

 

MAG juga terus bekerjasama dengan rakan industri dan pembekal tempatan untuk membangunkan pengeluaran bahan api lestari domestik, sekali gus memajukan perkhidmatan yang boleh digunakan bagi penerbangan penumpang, kargo dan perjalanan korporat.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Kelestarian MAG, Philip See berkata bahan api lestari merupakan salah satu elemen penting dalam peralihan penerbangan ke arah sifar bersih menjelang 2050.

 

“Kerjasama dengan DHL Express menunjukkan momentum penyelesaian berasaskan pasaran yang dapat mempercepat penggunaan bahan api lestari melebihi keperluan peraturan. MAG komited untuk memainkan peranan dalam penerapan operasi dan pembangunan ekosistem bahan api lestari di Malaysia dan rantau Asia,” katanya.

 

Dengan kerjasama ini, MAG dan DHL Express memperkukuh usaha mereka untuk menyokong pengangkutan udara rendah karbon, sejajar dengan matlamat kelestarian jangka panjang bagi industri penerbangan. - DagangNews.com