KUALA LUMPUR 21 April - Kerajaan hari ini melancarkan Dasar Pasaran Karbon Nasional (NCMP) sebagai rangka kerja utama bagi membangunkan ekosistem pasaran karbon negara secara tersusun dan berintegriti.
Dasar yang diterajui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) itu bertujuan menyediakan asas kukuh bagi perdagangan kredit karbon, sekali gus memposisikan Malaysia sebagai pemain berwibawa dalam pasaran karbon antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, NCMP akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pasaran karbon domestik sebelum pelaksanaan mekanisme penetapan harga karbon seperti cukai karbon atau skim perdagangan pelepasan.
“Keutamaan kita adalah memastikan kredit karbon yang diwujudkan adalah boleh diukur, disahkan dan mempunyai integriti tinggi supaya diyakini pasaran global,” katanya pada pelancaran dasar tersebut.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu membangunkan rangka kerja pasaran karbon terlebih dahulu bagi membolehkan syarikat mengimbangi pelepasan karbon sebelum sebarang cukai dikenakan.
NCMP yang diluluskan Kabinet pada 1 April 2026 merangkumi empat tonggak strategik utama, termasuk pelaksanaan pasaran karbon berintegriti tinggi, pembangunan daftar karbon nasional, pengukuhan kerjasama antarabangsa serta penyediaan asas kepada instrumen penetapan harga karbon.
Menurut Arthur, pembangunan daftar karbon nasional akan membolehkan semua kredit karbon dijejak secara telus, sekali gus mengelakkan pengiraan berganda dan meningkatkan keyakinan pelabur.
Selain itu, dasar ini turut memberi tumpuan kepada penyelarasan sistem pemantauan, pelaporan dan pengesahan (MRV) bagi memastikan setiap kredit karbon disokong data yang tepat.
Dalam masa sama, kerajaan akan memperkenalkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) bagi memperkukuh pelaksanaan dasar tersebut melalui peruntukan penguatkuasaan.
Mengulas mengenai penyelarasan dengan negeri, beliau berkata kerajaan Persekutuan akan bekerjasama rapat dengan Sabah dan Sarawak bagi memastikan keseragaman sistem karbon negara.
“Penyelarasan penting bagi memastikan Malaysia dapat memenuhi komitmen antarabangsa di bawah Perjanjian Paris secara konsisten,” katanya.
Pelancaran NCMP dilihat sebagai langkah strategik dalam mempercepat peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon, di samping membuka peluang baharu dalam perdagangan karbon global serta menarik pelaburan berkaitan kelestarian. - DagangNews.com








