KUALA LUMPUR 28 Nov - Dagangan di pasaran derivatif Bursa Malaysia digantung selepas jam 10.36 pagi hari ini berikutan gangguan ke atas sistem Globex global. Semua produk derivatif Bursa Malaysia yang diniagakan melalui Globex terjejas.
Globex adalah platform dagangan elektronik milik Chicago Mercantile Exchange (CME) Group yang memudahkan perdagangan derivatif secara global.
Bursa Malaysia memaklumkan bahawa mereka sedang menguruskan situasi ini dengan bekerjasama rapat bersama CME Group untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin.
"Keutamaan pihak bursa adalah untuk meminimumkan kesan gangguan dan memastikan integriti pasaran terpelihara," kata bursa dalam kenyataan hari ini.
Pihak Bursa Malaysia akan terus memberi maklumat terkini kepada semua pihak berkepentingan.
Bursa Malaysia ialah sebuah syarikat bursa yang ditubuhkan pada 1976 dan disenaraikan pada 2005. Ia kini antara bursa terbesar di ASEAN dan mengendalikan serta mengawal selia pasaran pelbagai aset, menawarkan pelbagai kemudahan pelaburan, pengumpulan modal, dan perkhidmatan berkaitan bursa. - DagangNews.com








