Cypark diramal terima manfaat besar daripada program LSS Petra 5+, kata BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cypark diramal terima manfaat besar daripada program LSS Petra 5+, kata BIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Feb - Cypark Resources Bhd diramal menerima manfaat besar daripada program solar berskala besar (LSS) Petra 5+ dan loji solar terapung hidro hibrid (HHFS) 500 megawatt arus ulang alik (MWac) di Tasik Kenyir, Terengganu.

 

BIMB Securities berkata, Cypark sebagai pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) yang berpengalaman serta pemilik ladang solar terapung, menjadikannya penerima manfaat daripada pengumuman LSS Petra 5+ baru-baru ini.

 

“Program tersebut memperuntukkan sehingga 500MW kapasiti untuk ladang solar terapung sahaja (pada julat 10MWac hingga 500MWac).

 

“Selain itu, kami juga positif dengan berita terbarunya tentang usaha sama dengan Terengganu Inc untuk pembangunan loji HHFS 500MWac di Tasik Kenyir, yang akan memulakan reka bentuk tahun ini dengan jangkaan pentauliahan menjelang suku keempat 2026,” katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Cypark, Terengganu Inc bina loji solar terapung hibrid hidro di Tasik Kenyir

 

Firma penyelidikan itu berkata, gabungan pengeluaran tenaga solar dan penyimpanan bateri, HHFS ini merupakan tapak tunggal terbesar di Malaysia dengan anggaran perbelanjaan modal sebanyak RM2.1 bilion.

 

"Kami menjangka kumpulan itu akan terus mencatatkan peningkatan hasil pada masa hadapan kerana kami mendapati Tenaga Nasional Bhd mempunyai tiga fasa lagi mandat HHFS yang akan dibina di Tasik Kenyir sehingga 2040," katanya.

 

BIMB Securities mengulangi saranan "pegang" ke atas Cypark dengan harga sasaran 89 sen sesaham. - DagangNews.com