Cuckoo meterai perjanjian taja jamin RHB Investment dan AmInvestment, bakal disenarai di Pasaran Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cuckoo meterai perjanjian taja jamin RHB Investment dan AmInvestment, bakal disenarai di Pasaran Utama

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Mac — Cuckoo International (Malaysia) Berhad memeterai perjanjian dengan RHB Investment Bank Berhad sebagai penaja jamin urusan dan AmInvestment Bank Berhad selaku penaja jamin bersama untuk penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
 

Penyedia produk kediaman gaya hidup sihat itu akan menawarkan sejumlah 365,364,000 saham biasa bersempena dengan penyenaraiannya itu termasuk sebanyak 143,280,000 saham terbitan baharu, mewakili 10 peratus daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.
 

Kedua-dua penaja jamin berkenaan pula akan menaja jamin tawaran runcit Cuckoo sebanyak 42,984,000 saham terbitan, mewakili kira-kira 3 peratus daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.
 

Sebanyak 28,656,000 saham terbitan pula akan disediakan untuk permohonan orang awam warga Malaysia melalui pengundian, dengan 50 peratus daripadanya diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera, termasuk individu, syarikat, persatuan, koperasi dan/atau institusi.
 

Baki sebanyak 14,328,000 saham terbitan lagi akan disediakan untuk permohonan oleh orang yang layak melibatkan pekerja syarikat berkenaan dan anak syarikatnya serta individu yang menyumbang kepada kejayaan Cuckoo selama ini.
 

IPO itu juga melibatkan tawaran untuk penjualan sejumlah 222,084,000 saham sedia ada atau saham tawaran dengan daripada jumlah tersebut, sebanyak 179,100,000 saham itu akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI).
 

Sementara 100,296,000 saham terbitan dan 42,984,000 saham tawaran akan diperuntukkan kepada pelabur Malaysia dan asing (kecuali institusi Bumiputera dan asing terpilih) serta pelabur terpilih di luar Amerika Syarikat (AS) bergantung pada Peraturan S.
 

Hasil daripada IPO akan digunakan untuk membiayai pembelian produk untuk pengembangan perniagaan sewa, pembayaran balik pinjaman bank, perbelanjaan modal untuk pembukaan ‘Brandshops’ dan menaik taraf sistem teknologi maklumat, pengembangan perniagaan di Singapura, serta anggaran perbelanjaan penyenaraian.
 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, IPO itu akan mengukuhkan lagi perniagaan dan membolehkan mengembangkan jangkauan serta meningkatkan keupayaan untuk berkhidmat kepada masyarakat di seluruh negara.
 

"Cuckoo berdedikasi untuk mencipta ekosistem kesihatan holistik yang memperkayakan kehidupan dan memastikan kesihatan dapat dicapai semua orang," katanya.
 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan RHB Investment, Kevin Davies berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyokong Cuckoo Malaysia kerana mengambil langkah penting ke hadapan dalam perjalanan ke arah IPO yang berjaya.
 

"Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami tidak berbelah bahagi untuk memperkasakan syarikat berpotensi tinggi, membuka peluang pertumbuhan baharu dan memacu penciptaan nilai jangka panjang," jelas beliau.
 

Cuckoo telah mewujudkan model perniagaan yang kukuh dan berdaya tahan di Malaysia, dengan rancangan pengembangan strategiknya mencerminkan cita-cita yang jelas untuk meningkatkan skala serantau dan mengukuhkan kepimpinan pasarannya. - DagangNews.com