Cubaan jual FBM Hudson Italiana gagal lagi, KNM berdepan kekecewaan kali keempat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cubaan jual FBM Hudson Italiana gagal lagi, KNM berdepan kekecewaan kali keempat

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Sept – KNM Group Bhd, penyedia perkhidmatan minyak dan gas yang kini dalam proses penstrukturan semula, sekali lagi gagal dalam cubaan menjual anak syarikat Itali miliknya, FBM Hudson Italiana SpA (FBMHI), selepas salah satu daripada dua pembida menarik diri daripada perjanjian pembelian.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, KNM memaklumkan bahawa pihaknya menerima surat bertarikh 17 September daripada syarikat Jerman Terragarda GmbH yang memutuskan untuk menarik balik tawaran bersama dengan syarikat Switzerland SymbEx GmbH untuk membeli FBMHI dan unit milik penuhnya di Emiriah Arab Bersatu.

 

“Sehubungan itu, tawaran tersebut dianggap terbatal pada tarikh yang sama,” menurut KNM dalam kenyataan pemakluman.

 

Tawaran bersama SymbEx dan Terragarda itu sebelum ini diumumkan bernilai €19.5 juta (RM101 juta) yang merangkumi €8 juta bayaran tunai, pengambilalihan hutang antara syarikat sebanyak €11.5 juta yang ditanggung FBMHI, komitmen suntikan modal kerja sebanyak €5 juta, dan pinjaman boleh tukar bernilai €3.2 juta untuk melangsaikan pinjaman dengan Banco Popolare di Milano.

 

FBMHI, yang merupakan pengeluar utama penukar haba dan peralatan tekanan tinggi, kini menanggung hutang sehingga €35 juta melalui kemudahan perbankan dan liabiliti pemiutang.

 

Meskipun FBMHI mencatat keuntungan baru-baru ini, KNM menjelaskan bahawa entiti itu memerlukan suntikan modal segera untuk menyusun semula struktur hutangnya, mengukuhkan modal kerja untuk menyokong tawaran kontrak baharu, dan membiayai pelan pertumbuhan masa depan.

 

Namun, KNM mengakui ia tidak mampu menyediakan dana tersebut dalam keadaan semasa syarikat yang sedang bergelut dengan proses penstrukturan kewangan.

 

Ini adalah cubaan kali keempat yang gagal untuk melupuskan FBMHI sejak Mei 2023.

 

Sejarah Tiga Tawaran Sebelum Ini

 

Tawaran-tawaran terdahulu yang turut gagal termasuk €12 juta oleh British Midland FZE pada Mei 2023, €22 juta oleh Petro MAT FZCO dari UAE pada November 2023 – gagal mendapatkan kelulusan "Golden Power" daripada kerajaan Itali, dan €16.5 juta oleh usaha sama Itali antara BM Carpenterie Oil & Gas Srl dan Officine Piccol SpA – turut gagal atas sebab kelulusan yang sama pada Mac 2024.

 

Sementara itu, KNM sebelum ini mengumumkan kejayaan memeterai perjanjian bernilai €270 juta (RM1.26 bilion) pada Februari 2025 untuk melupuskan anak syarikat Jermannya, Deutsche KNM GmbH, kepada NGK Insulators Ltd dari Jepun. Unit itu memiliki Borsig GmbH, penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan. - DagangNews.com