Crest Builder peroleh kontrak RM299.4 juta pembangunan komersial Desa ParkCity | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Crest Builder peroleh kontrak RM299.4 juta pembangunan komersial Desa ParkCity

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Nov – Crest Builder Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Crest Build Sdn Bhd telah memperolehi kontrak bernilai RM299.4 juta bagi pembinaan pembangunan komersial baharu di Desa ParkCity, Kuala Lumpur.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, syarikat berkata kontrak 36 bulan itu dianugerahkan Perdana ParkCity Sdn Bhd, pemaju utama township Desa ParkCity.

 

Di bawah kontrak ini, Crest Builder akan bertanggungjawab bagi kerja pembinaan sebuah bangunan pejabat 46 tingkat, yang merangkumi dua tingkat kedai runcit, 36 tingkat pejabat serta tempat letak kereta bertingkat. Kontrak dijadualkan bermula 18 Julai 2026 hingga 27 Julai 2029.

 

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Crest Builder, Eric Yong Shang Ming, ini merupakan kontrak keempat syarikat daripada ParkCity Group setakat ini.

 

“Disokong oleh buku pesanan yang kukuh dan projek berterusan yang stabil, kami komited untuk mencapai pertumbuhan mampan serta mengekalkan standard kualiti tertinggi,” katanya.

 

Kontrak baharu ini meningkatkan jumlah buku pesanan Crest Builder kepada anggaran RM1.7 bilion, sekali gus memberikan ketelusan pendapatan untuk empat tahun akan datang.

 

Crest Builder terlibat terutamanya dalam pembinaan dan pembangunan hartanah, serta perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik serta pengurusan projek, menurut laman web syarikat.

 

Saham Crest Builder ditutup naik setengah sen atau 1% kepada 51 sen pada Isnin, sebelum pengumuman kontrak dibuat. Pada harga terakhir, syarikat mempunyai permodalan pasaran RM107.2 juta- DagangNews.com