Crest Builder catat hasil RM673.2 juta pada FY25, cadang dividen 2 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Crest Builder catat hasil RM673.2 juta pada FY25, cadang dividen 2 sen

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb – Crest Builder Holdings Berhad mencatat prestasi kewangan cemerlang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan pendapatan sebanyak RM673.2 juta, meningkat 17.2 peratus berbanding 2024.

 

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) melonjak lebih dua kali ganda kepada RM13 juta, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen pembinaan dan pelaburan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pembinaan itu berkata, bagi suku keempat 2025, ia mencatatkan pendapatan RM229.6 juta, meningkat 34.5 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

“PATAMI bagi suku tersebut turut naik 49.3 peratus kepada RM5.4 juta.

 

“Kenaikan pendapatan suku keempat didorong oleh peningkatan produktiviti tapak kerja dan jualan serta bil kemajuan tinggi dari projek The Interpoint di Klang, yang menyumbang kepada prestasi cemerlang segmen pembinaan,” katanya dalam makluman itu.

 

Segmen pembinaan mencatatkan lonjakan keuntungan 90.9 peratus manakala segmen pelaburan mencatatkan kenaikan lima kali ganda berikutan hasil aset yang lebih optimum dan kadar sewaan meningkat.

 

Segmen pembangunan hartanah juga mencatat pertumbuhan 18.9 peratus, manakala hasil daripada divisyen konsesi menyaksikan pertumbuhan lebih sederhana.

 

Pengarah Urusan Crest Builder, Eric Yong berkata prestasi ini adalah hasil daripada strategi syarikat yang memfokuskan kepada pelaksanaan projek secara cekap dan pemulihan serta pengurusan pesanan yang berkesan.

 

“Momentum positif ini memberi keyakinan kepada syarikat untuk menetapkan sasaran melebihi pencapaian 2025 pada tahun 2026, melalui pengurusan kos yang bijak, perancangan sumber yang efektif, dan pengoptimuman buku pesanan,” katanya.

 

Bagi tahun kewangan 2025, Crest Builder mencadangkan pembayaran dividen tunggal bersih sebanyak 2.0 sen sesaham, yang merupakan yang pertama sejak pandemik Covid-19, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham kelak.

 

Crest Builder disenaraikan di Bursa Malaysia pada 12 Jun 2003 dan mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam industri pembinaan, khususnya projek bangunan tinggi.

 

Selain aktiviti pembinaan, syarikat telah mempelbagaikan perniagaan ke pembangunan hartanah, konsesi universiti, perkhidmatan mekanikal dan kejuruteraan, pengurusan projek, pengurusan hartanah serta pengurusan tempat letak kereta.

 

Prestasi cemerlang 2025 menandakan satu tahun bersejarah bagi Crest Builder, mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pemain utama dalam industri pembinaan dan hartanah di Malaysia serta membuka laluan bagi pertumbuhan berterusan pada tahun-tahun akan datang. - DagangNews.com