KUALA LUMPUR 24 Nov - CPE Technology Berhad merekodkan untung selepas cukai (PAT) sebanyak RM3.35 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 30 September 2025 (1QFY26).
Angka tersebut jelas kumpulan tersebut, menunjukkan berlaku peningkatan berbanding keuntungan bersih sebanyak RM2.28 juta yang dicatatkan pada tempoh suku sama untuk tahun kewangan sebelumnya.
Tambahnya, peningkatan dalam keuntungan ini, menyaksikan untung sebelum cukai (PBT) turut meningkat 31% kepada kira-kira RM3.92 juta berbanding hanya kira-kira RM2.99 juta pada suku yang sebelumnya.
"Ia disebabkan terutamanya ketiadaan kerugian tukaran mata wang asing sekali sahaja bernilai RM4.11 juta yang dimasukkan dalam suku tahun sepadan tahun sebelumnya," maklum CPE kepada Bursa Malaysia.
Walaupun keuntungan bersih meningkat, hasil kumpulan pula jelasnya, adalah berkurangan sebanyak 13% kepada RM25.43 juta pada 1QFY26, berbanding sebanyak RM29.29 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Penurunan hasil ini disebabkan oleh peralihan seorang pelanggan utama kepada sistem pengurusan inventori baharu dikenali Kanban, yang menyebabkan pelanggan mengurangkan volum pembelian langsung.
Di samping itu kata CPE yang ditubuhkan pada 26 April 2021, penurunan permintaan di pasaran peralatan Jepun juga menyumbang kepada hasil yang lebih rendah dalam tempoh tiga bulan berkenaan.
"Pada suku semasa, kumpulan mencatatkan untung kasar sebanyak RM4.32 juta, dengan margin untung kasar 17%, dan ia turut merosot sebanyak 49% berbanding suku yang sepadan tahun lalu," jelasnya
Penurunan untung kasar ini disebabkan oleh aktiviti pengeluaran lebih rendah serta peningkatan kos operasi, namun kumpulan sedang membangunkan produk terkini dengan pelanggan sedia ada dan baharu.
Segmen utama yang menyumbang hasil pada 1QFY26 ialah industri semikonduktor dengan RM13.07 juta (51.40%) diikuti sains hayat dan peranti perubatan RM5.78 juta serta peralatan sukan (RM3.89 juta).
Sementara itu jelas CPE, pendapatan sesaham (EPS) asas bagi suku semasa ialah 0.50 sen, meningkat daripada cuma 0.34 sen pada suku yang sepadan tahun lalu meskipun berdepan cabaran jangka pendek.
"Antaranya perubahan polisi inventori pelanggan dan kelembapan permintaan peralatan Jepun, namun kekal optimis terhadap prospek jangka sederhana bagi pasaran peralatan semikonduktor," katanya.
Keyakinan tersebut tambah syarikat itu, disokong oleh permintaan stabil dari Amerika Syarikat (AS), serta pertumbuhan secara berterusan aktiviti pembuatan semikonduktor di Malaysia dan Singapura.
Kumpulan yakin dengan asas kewangan kukuh dan pasaran akhir, serta di kedudukan baik menangani turun naik jangka pendek dan merebut peluang pertumbuhan pelaburan. - DagangNews.com








