KUALA LUMPUR 20 Mac — Co-opbank Pertama (CBP) terus menunjukkan prestasi kewangan cemerlang dengan mencatatkan keuntungan sebanyak RM124.19 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), meningkat 3.1 peratus berbanding tahun kewangan 2023 (FY23).
Jumlah modal syer CBP juga mencatatkan sebanyak lebih RM1.6 bilion sehingga 31 Disember 2024, dan mencukupi untuk menyokong perkembangan perniagaan pada tahun ini dengan ia perlu sentiasa memantau dan memastikan kedudukan modal berada pada tahap yang optimum.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, pembukaan semula Syer Keanggotaan CBP pada Jun 2024 adalah bertujuan untuk membantu meningkatkan kedudukan Nisbah Modal Berwajaran Risiko (RWCR) ke tahap 'sihat' bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.
"Pada masa yang sama, kami sendiri juga perlu sentiasa mematuhi nisbah kehematan yang telah ditetapkan oleh kedua-dua pengawal selia CBP iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
CBP tambah beliau, turut merancang untuk menerbitkan sukuk sulungnya pada tahun ini yang akan menjadi program RM5 bilion dengan berasaskan konsep Wakalah Bi Al-Istithmar dan akan ditawarkan secara berperingkat berdasarkan keperluan perniagaan serta keadaan pasaran.

Sasaran terbitan yang pertama itu kata beliau, adalah antara sebanyak RM500 juta sehingga RM1 bilion dengan bergantung kepada faktor keadaan pasaran semasa, keperluan pelabur dan kedudukan tahap kecairan CBP sendiri.
"CBP perlu untuk dapat mempelbagaikan lagi asas pembiayaan serta terus mengekalkan kadar nisbah pembiayaan yang stabil dan penting untuk strategi pengurusan aset serta liabiliti," kata Khairil Anuar dalam kenyataan tersebut.
Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa CBP juga dalam proses untuk mendapatkan Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (RPP) yang membolehkan para pelanggannya dapat menggunakan DuitNow Transfer dan DuitNow QR pada aplikasi HELOCBP dan HELOBiz.
Inisiatif ini adalah sebahagian usaha untuk memberi perkhidmatan lebih baik secara dalam talian kepada pelanggan dengan menyasarkan pelaksanaan pada suku kedua 2025, dan menandakan satu pencapaian penting dalam kemajuan perkhidmatan perbankan digital untuk pelanggan CBP.
Mengulas mengenai isu perpindahan ke Wisma CBP di Kampung Baru, Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat baharunya, Khairil Anuar berkata, kakitangan ibu pejabat dijangka mula berpindah ke bangunan baharu itu dalam masa yang terdekat.
"Premis baharu tersebut bakal menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan pengalaman pelanggan yang lebih baik," kata beliau. - DagangNews.com








