KUALA LUMPUR 27 Feb - Anak syarikat UEM Group Bhd, Cement Industries of Malaysia Bhd (CIMA), memperkenalkan NS OptimoCrete, simen Portland Limestone (PLC) pertama di Malaysia dengan kekuatan 52.5.
NS OptimoCrete tersedia dalam bentuk pukal dan beg 50 kilogram, dengan yang terakhir dipasarkan sebagai NS OptimoCast.
CIMA berkata, pengenalan produk tersebut menetapkan penanda aras baharu yang memperlihatkan kepelbagaian guna simen berkenaan termasuk konkrit siap campur, komponen pra-cetak, dek jambatan, grouts, pengukuhan tanah dan pemulihan permukaan penuh jalan.
Menurut syarikat, produk itu menawarkan kekuatan yang lebih tinggi berbanding simen campuran yang tersedia di pasaran, memastikan kualiti dan ketahanan yang luar biasa.
Pengarah Urusan CIMA, Hairol Azizi Tajudin berkata, sebagai pengeluar simen kedua terbesar di Malaysia, syarikat juga komited melaksanakan amalan pembinaan lestari di negara ini.
"Kami bukan sahaja berhasrat melihat pembinaan lestari berkembang di Malaysia, tetapi kami bertekad untuk memimpin perubahan ini.
"Selaras dengan sasaran bebas karbon kerajaan menjelang 2050, CIMA secara aktif meneroka peluang untuk mempelbagaikan tawaran produk kami, bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pengenalan NS OptimoCrete dalam portfolio mesra alam syarikat, menegaskan komitmennya mencapai matlamat tersebut.
Sebagai alternatif yang lebih lestari dan mesra alam berbanding Simen Portland Biasa (OPC), NS OptimoCrete menawarkan kualiti dan prestasi yang cemerlang dengan daya tahan yang lebih baik.
Produk itu bukan sahaja memenuhi piawaian tinggi OPC tradisional dari segi kekuatan mampatan dan ketahanan, malah ia juga boleh mengatasi OPC dari segi kualiti kemasan sambil memberikan manfaat kepada alam sekitar.
Dengan keupayaan mengurangkan karbon sehingga 10 peratus, ia secara aktif membantu mengurangkan jejak karbon berkaitan aktiviti pembinaan.
Dibangunkan melalui lebih 12 bulan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyeluruh, NS OptimoCrete mewakili satu lagi langkah ke hadapan dalam komitmen CIMA terhadap inovasi dan penjagaan alam sekitar.
Pelancaran tersebut dibuat susulan pengenalan produk hijau oleh syarikat sejak 2010 termasuk NS EcoCrete, NS EcoCreteLow Heat dan NS Ezicast.
Selain itu, syarikat turut memperkenalkan HydroPave iaitu konkrit siap campur mesra alam pada 2024, menggalakkan pengurusan air lestari dengan membolehkan air meresap melalui permukaan dan bukannya bertakung atau mengalir, yang bukan sahaja mengurangkan risiko banjir tetapi juga membantu mengisi semula bekalan air bawah tanah. - DagangNews.com








