KUALA LUMPUR 12 Feb - Cili Kampung Malaysia mengambil alih 50% pegangan dalam Dotty’s Pastries & Coffee Sdn Bhd dalam langkah strategik memperkukuh kedudukan kedua-dua jenama tempatan itu untuk pengembangan ke peringkat nasional.
Menerusi transaksi tersebut, Cili Kampung melanggan 11,956,234 saham baharu dalam Dotty’s, mewakili 50% kepentingan ekuiti dan mencerminkan keyakinan jangka panjang terhadap kekuatan jenama, inovasi produk serta potensi pertumbuhan syarikat berkenaan.
Pengambilalihan itu bertepatan dengan ulang tahun ke-10 Dotty’s dan dilihat sebagai fasa baharu pertumbuhan apabila jenama kafe artisan itu beralih daripada perniagaan restoran berdikari kepada model lebih berskala dan tersusun, dengan pensijilan Halal JAKIM sebagai teras pengembangan.
Sebagai sebahagian daripada pelan pertumbuhan, kedua-dua pihak komited menyediakan dana berjumlah RM5 juta bagi menyokong peluasan operasi, pemerkasaan rantaian bekalan serta memperkukuh infrastruktur dalaman.
Dana itu turut menyokong pelancaran semula cawangan utama Dotty’s di Suria KLCC yang menampilkan konsep baharu santapan sepanjang hari (all-day dining).
Pengarah Cili Kampung Malaysia, Anwar Azeez berkata, pelaburan itu adalah langkah strategik untuk menginstitusikan jenama yang telah membina reputasi kukuh dalam segmen kafe premium tempatan.
“Dengan menggabungkan disiplin operasi dan kepakaran pengembangan Cili Kampung bersama kekuatan artisan Dotty’s, kami mewujudkan platform lebih kukuh dalam segmen gaya hidup Melayu moden dan kafe artisan Halal premium,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, sinergi itu membolehkan kedua-dua jenama memperluas capaian pasaran dan mempercepat pertumbuhan secara mampan di Malaysia.
Cili Kampung kini mengendalikan beberapa cawangan di lokasi utama termasuk Langkawi, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan, dengan strategi dapur berpusat bagi meningkatkan kecekapan serta konsistensi kualiti produk.
Ketua Pegawai Pemasaran Cili Kampung Malaysia, Kesavan (KC) Purusotman berkata, kerjasama tersebut selari dengan strategi portfolio kumpulan untuk berkembang bersama jenama yang mempunyai nilai dan kepercayaan pengguna yang kukuh.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Dotty’s, Nadia Nasimuddin berkata, kemasukan Cili Kampung sebagai rakan kongsi setara menyediakan struktur dan sokongan diperlukan untuk membawa jenama itu ke tahap lebih tinggi.
“Kami komited untuk mengembangkan Dotty’s secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan standard artisan dan pengalaman hospitaliti yang menjadi identiti kami sejak awal,” katanya. - DagangNews.com








