KUALA LUMPUR 7 Mei – Hartalega Holdings Berhad terus berdepan dengan situasi tekanan harga dan lebihan stok dalam industri sarung tangan getah global, menurut analisis CGS International (CGSI).
Tambah firma penyelidikan tersebut, bagaimanapun usaha agresif pengoptimuman kos dan automasi dilihat berjaya meningkatkan margin keuntungan syarikat itu pada suku keempat tahun kewangan 2026.
Ujarnya, pemulihan prestasi kumpulan berkenaan pada ketika ini masih rapuh berikutan persaingan harga yang sengit termasuk daripada banyak pengeluar China serta ketidaktentuan pasaran global.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'kurangkan pegangan' terhadap saham Hartalega, tetapi menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.07 berbanding 80 sen sebelum ini," jelas nota CGSI.
Menurut firma itu, keuntungan bersih teras bagi 4QFY26 melonjak lebih 100% tahun ke tahun (YoY) kepada RM40.1 juta, dan membawa setahun penuh kepada RM86.6 juta, meningkat 22.8% berbanding FY25.
Prestasi lebih baik daripada jangkaan itu katanya, dipacu peningkatan kecekapan pengeluaran hasil projek automasi berterusan yang mengimbangi tekanan harga jualan purata (ASP) lebih rendah.
CGSI berkata, perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi setiap 1,000 keping sarung tangan naik kepada AS$1.30 (RM5.10) dalam 4QFY26 berbanding hanya AS$0.3 (RM1.20) setahun sebelumnya.
"Kami menjangkakan margin operasi Hartalega bertambah baik dengan EBIT setiap 1,000 keping diunjur meningkat daripada AS$1.50 (RM5.90) pada FY27 kepada AS$2.4 (RM9.38) menjelang FY29," jelasnya.

Pengurangan kos operasi ujarnya, menjadi pemacu utama prestasi apabila kos pengeluaran bagi setiap 1,000 keping turun kepada AS$19.3 (RM75.45) dalam 4QFY26 berbanding AS$22.2 (RM86.80) pada 4QFY25.
Kata CGSI, penjimatan itu disokong operasi penuh kilang Plant 9 yang sudah dinaik taraf sepenuhnya oleh kumpulan berkenaan selain unjuran penggunaan teknologi baharu dan kos buruh lebih rendah.
Pengurusan Hartalega turut memberi bayangan usaha pengoptimuman kos selanjutnya itu boleh datang daripada Plants 3 dan Plant 4 yang kini dalam situasi operasi direhatkan sementara,” katanya.
"Kami menyemak naik unjuran keuntungan bersih FY27 sebanyak 23.3% dengan diambil kira keberkesanan langkah pengoptimuman kos, namun menurunkan sedikit unjuran FY28 kira-kira 3.3%," tambahnya lagi.
Bagaimanapun, CGSI berpandangan pemulihan industri sarung tangan masih dibayangi isu lebihan kapasiti global, dan mengehadkan pulangan ekuiti (ROE) Hartalega yang dijangka hanya 3% bagi FY27.
Pelabur ujar firma penyelidikan itu dilihat sudah mengambil kira jangkaan pemulihan kukuh pada FY28 apabila sahamnya diniagakan sebanyak 15 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi FY29.
Antara faktor kenaikan saham kumpulan itu termasuk perubahan struktur tarif global yang memihak kepada pengeluar Malaysia serta permintaan berterusan bagi sarung tangan premium syarikat.
"Namun, risiko utama termasuk persaingan harga daripada pengeluar China, penyusutan dolar Amerika Syarikat dan kekangan terhadap pekerja asing yang meningkatkan kos buruh," kata CGSI. - DagangNews.com








