KUALA LUMPUR 17 Julai – Saliran Group Berhad mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat, Yong Wai Kin sebagai Pengarah Eksekutif berkuat kuasa hari ini.
Syarikat itu yang merupakan pembekal dan pengedar paip, kelengkapan dan bebibir serta bahagian dan aksesori berkaitan serta produk keluli, menyifatkan pelantikan strategik Yong mencerminkan keyakinan Lembaga Pengarah terhadap kepimpinan dan kepakarannya ketika Saliran terus memperkukuh trajektori pertumbuhan pasca penyenaraiannya.
Yong, yang telah berkhidmat sebagai CFO Saliran sejak Mei 2022, membawa lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang kewangan, audit dan pengurusan korporat merentasi pelbagai industri seperti pembuatan, automotif, media dan kelapa sawit.

Sejak menyertai Saliran, beliau telah memainkan peranan penting dalam menerajui pengurusan kewangan Syarikat dan merupakan individu utama yang mengemudi kejayaan penyenaraian Saliran di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada tahun 2025.
Sebelum menyertai Saliran, Yong pernah memegang jawatan kepimpinan kanan termasuk Pengarah Eksekutif dan CFO Mann Seng Metal International Ltd., di mana beliau berjaya mengendalikan penyenaraian syarikat itu di Bursa Saham Singapura pada Mei 2010.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai CFO Econframe Berhad, di mana beliau mengurus hal ehwal kewangan dan korporat Kumpulan serta memainkan peranan penting dalam penyenaraian syarikat tersebut pada Oktober 2020.
Yong merupakan Ahli Fellow Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA), dan memegang Diploma Tinggi dalam Perakaunan daripada London Chamber of Commerce and Industry (LCCI).
Saliran Group Berhad, yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad dengan kod saham 0346, telah disenaraikan secara rasmi pada 13 Mac 2025. Pada masa ini, permodalan pasaran Syarikat adalah kira-kira RM78.5 juta. - DagangNews.com








